UNIVERSITI Malaya (UM) menjadi medan kolaborasi antarabangsa antara Universitas Muhammadiyah Yogyakarta (UMY) dan UM melalui pementasan drama berasaskan legenda Nusantara, Roro Jonggrang.
Projek ini dipimpin oleh Pensyarah UMY, Puthut Ardianto yang mengangkat pendekatan performative pedagogy dengan menggabungkan lakonan, muzik dan penceritaan kreatif dalam bilik darjah.
Menurut Puthut, pemilihan kisah tersebut dibuat berdasarkan kesesuaiannya sebagai medium pembelajaran dan pertukaran budaya.
“Cerita Roro Jonggrang ini mudah difahami dan sesuai untuk English learning experiences serta cultural exchange, selain menjadi representasi legenda dari Jawa,” katanya yang ditemui baru-baru ini.
Sebanyak lapan naskhah cerita rakyat telah dihasilkan, namun naskhah ini dipilih dan diolah secara kreatif dengan penambahan elemen muzik, lagu berunsur notasi Jawa serta sedikit penggunaan bahasa Jawa bagi memudahkan pemahaman audiens antarabangsa.
“Pendekatan saya bukan sekadar pada isi cerita, tetapi bagaimana ia disampaikan. Saya masukkan unsur lagu dan adaptasi supaya lebih dekat dengan penonton,” jelasnya.
Dari segi produksi, proses audisi pelakon dijalankan sepenuhnya secara dalam talian dengan penyertaan terbuka kepada pelajar.
Empat calon akhir dipilih sebelum watak utama diberikan kepada pelajar UM bagi menonjolkan elemen komunikasi silang budaya.
Secara keseluruhan, seramai 13 pelajar UM terlibat dalam pementasan ini.
Menurut Puthut yang juga menulis skrip, pemilihan pelakon utama daripada latar belakang berbeza adalah satu strategi penting dalam projek ini.
“Kami sengaja memilih pelakon bukan dari latar Indonesia kerana di situlah cross-cultural communication berlaku, bagaimana watak puteri Jawa dibawa oleh pelajar antarabangsa,” katanya.
Latihan dijalankan secara hibrid, bermula dengan sesi dalam talian termasuk pembacaan skrip, latihan dialog dan bimbingan lakonan selama lebih tiga jam setiap sesi.
Pasukan produksi dari Indonesia kemudian menjalani latihan intensif selama empat hari di Kuala Lumpur.
Walaupun berdepan kekangan masa dan latihan jarak jauh, pelajar berjaya menampilkan persembahan yang memberangsangkan.
“Saya sangat terkesan dengan pelajar UM. Dalam masa yang singkat, mereka mampu menghafal dialog, menjiwai watak dan juga berimprovisasi tanpa lari daripada esensi cerita,” ujarnya.
Dari sudut penceritaan, legenda ini mengisahkan percintaan, pengkhianatan dan strategi, namun mesej yang ingin disampaikan lebih mendalam.
“Jika kita ingin mendapatkan sesuatu, kita perlu berusaha bersungguh-sungguh. Kita tidak boleh hanya menunggu, tetapi perlu melakukan effort,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan kebijaksanaan dalam membuat keputusan.
“Kita boleh menggunakan strategi, tetapi perlu berhati-hati agar tidak memudaratkan diri sendiri,” tambahnya.
Selain pementasan, projek ini turut membuka ruang kepada penyelidikan bersama antara kedua-dua universiti melalui data yang dikumpulkan sepanjang proses produksi.
Puthut juga berharap pementasan ini dapat diperluaskan ke universiti lain di Malaysia serta mendapat sokongan penaja.
“Saya berharap naskhah-naskhah legenda ini dapat dipentaskan di lebih banyak universiti dan dinikmati oleh masyarakat antarabangsa,” katanya.
Inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh hubungan dua negara serumpun, malah mengangkat semula cerita rakyat sebagai medium pendidikan, warisan budaya dan pembelajaran rentas budaya.