Mahasiswa bersatu di UPSI, angkat isu kritikal kehidupan pelajar

- Advertisement / Iklan -

UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjadi saksi kebangkitan suara mahasiswa apabila program Jelajah Aspirasi ’26: Wacana Mahasiswa Utara menghimpunkan kepimpinan pelajar dari seluruh Malaysia dalam satu platform berimpak tinggi.

Program yang berlangsung di Panggung Percubaan, KSAS itu bukan sekadar sesi libat urus, sebaliknya tampil sebagai medan strategik bagi mahasiswa menyuarakan pandangan, membentangkan resolusi serta mengangkat isu-isu kritikal kebajikan yang membelenggu kehidupan pelajar masa kini.

Acara tersebut turut menghimpunkan barisan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dari seluruh negara, sekali gus menjadikan UPSI sebagai pentas nasional bagi memperkukuh suara mahasiswa.

Kehadiran kepimpinan pelajar daripada pelbagai universiti mencerminkan gelombang baharu mahasiswa yang lebih bersatu, berani dan bersedia memainkan peranan sebagai rakan strategik dalam pembangunan pendidikan tinggi negara.

- Advertisement / Iklan -

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof Dr Azlinda Azman dalam ucapannya menegaskan kepentingan platform sedemikian dalam memastikan suara mahasiswa terus didengar dan diberi perhatian sewajarnya.

“Sesi sebegini amat penting kerana ia membuktikan bahawa suara mahasiswa sentiasa diberi perhatian dan ruang sewajarnya untuk diketengahkan kepada pihak berkepentingan,” katanya.

- Advertisement / Iklan -

Menurut beliau, penganjuran program seumpama itu signifikan dalam menyediakan ruang konstruktif kepada mahasiswa untuk berkongsi idea serta mengetengahkan isu yang dekat dengan kehidupan mereka.

Dalam sesi pembentangan resolusi oleh Jawatankuasa Task Force Kebajikan Siswa, beberapa isu utama diketengahkan termasuk peningkatan kos sara hidup, kenaikan kos pengangkutan harian serta sekuriti makanan mahasiswa, khususnya kenaikan harga makanan di kampus yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan pelajar.

Azlinda berkata, isu-isu berkenaan mencerminkan realiti semasa yang memerlukan tindakan segera serta kerjasama pelbagai pihak.

“Isu-isu ini memerlukan kerjasama erat antara kementerian, institusi pendidikan tinggi serta kepimpinan mahasiswa bagi mencari penyelesaian yang holistik, praktikal dan berimpak,” ujarnya.

Program tersebut turut disertai kepimpinan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), wakil universiti serta mahasiswa dari seluruh negara, menjadikan wacana itu lebih inklusif dan menyeluruh.

Pengarah program, Muhammad Luqman Nurhakim yang juga Yang Dipertua MPP UPSI 2025/2026, merakamkan penghargaan kepada mahasiswa yang tampil menyuarakan pandangan dan memperjuangkan hal ehwal pelajar.

Beliau berkata, UPSI bukan sekadar lokasi penganjuran, malah menjadi simbol penyatuan suara mahasiswa Malaysia yang kini bergerak sebagai satu kekuatan kolektif dalam membentuk masa depan pendidikan tinggi negara.

Jelajah Aspirasi ’26 membuktikan bahawa mahasiswa hari ini bukan lagi sekadar pemerhati, sebaliknya muncul sebagai pencorak masa depan negara dengan suara yang menuntut kesejahteraan, keadilan serta sistem pendidikan tinggi yang lebih mampan.