DILAHIRKAN tanpa jari bukanlah jalan mudah buat Mohd Rahmat Abd Somat.
Namun di sebalik kekurangan itu, tersimpan sebuah kekuatan yang luar biasa yang bukan sahaja membentuk dirinya hari ini, malah mengubah cara orang sekeliling melihat erti kemampuan sebenar.
Di saat ramai mungkin melihat keterbatasan sebagai penghalang, Rahmat memilih untuk bangkit. Dengan semangat yang tidak pernah luntur, lelaki berusia 37 tahun itu membuktikan bahawa kecekalan dan usaha mampu mengatasi segala kekurangan fizikal.
Lulusan diploma Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu dilahirkan kudung dari bahagian pergelangan tangan, namun keadaan tersebut tidak pernah mematahkan semangatnya untuk berdikari dan mencari rezeki sendiri.
Mesra disapa Rahmat, dia kini dikenali sebagai mekanik yang cekal, malah berjaya membuka bengkel motosikal sendiri sejak 2008 hasil usaha dan kemahiran yang dibina sedikit demi sedikit.
Menurut Rahmat, ketelitian serta teknik tersendiri digunakan untuk memasang komponen dan memutar skru, selain bantuan pelbagai mesin di bengkel yang diusahakan di kediamannya, menjadikan khidmatnya kini mendapat kepercayaa pelanggan cari pelbagai negeri.
Rahmat berkata, walaupun kebanyakan kerja pembaikan dilakukannya sendiri, namun bagi tugasan rumit, dia akan mendapatkan bantuan daripada abangnya.
"Pelanggan datang sebab percaya dengan hasil kerja saya, bukan sebab simpati. Saya bersyukur dengan kelebihan yang Allah beri,” katanya.
Bapa kepada seorang anak itu berkata bengkel berkenaan diusahakan menggunakan wang simpanannya sejak zaman persekolahan selain bantuan keluarga serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Sebagai permulaan, Anak jati Kampung Tanjung Musang, Langgar itu memberitahu dia membeli mesin serta peralatan terpakai daripada kilang pada harga jauh lebih rendah.
Kini, walaupun kekurangan fizikal namun dia berbangga kerana mampu menyara keluarga tanpa bergantung kepada bantuan semata-mata dan baginya, kehidupan menuntut usaha berterusan dan keyakinan terhadap kemampuan diri.
Sementara itu, ibunya, Sofiah Mohamad, 71, menyatakan rasa bangga dengan semangat dipamerkan anak bongsu daripada lima beradik itu, yang sentiasa berfikiran positif dan enggan menyusahkan sesiapa. - Bernama