DALAM landskap keselamatan yang semakin kompleks, peranan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kekal sebagai benteng utama dalam memastikan keamanan dan kesejahteraan negara.
Di sebalik tanggungjawab besar ini, berdiri barisan pegawai yang bukan sahaja terlatih dalam bidang kepolisan, malah turut dibentuk oleh asas keilmuan yang kukuh termasuk alumni Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Sempena sambutan Hari Polis ke-219 bertemakan “Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada”, UTM menzahirkan penghargaan kepada alumni yang memilih laluan perkhidmatan dalam pasukan keselamatan negara, menyumbang kepakaran, kepimpinan dan integriti dalam mempertahankan kedaulatan negara.
Antara tokoh yang mencerminkan kecemerlangan ini ialah Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, alumni Sarjana Muda Kejuruteraan Awam (1985), Fakulti Kejuruteraan Awam dan mantan Ketua Polis Negara ke-13.
Kepimpinan beliau dalam menerajui PDRM memperlihatkan ketegasan dan keupayaan strategik dalam mendepani cabaran keselamatan yang dinamik.
Turut menyerlah ialah SAC Rizal Abd Rahman Sidek, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, yang berkelulusan Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal (2000) dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal.
Latar belakang kejuruteraan yang dimiliki memperkukuh pendekatan analitikal dan sistematik dalam pengurusan operasi serta strategi keselamatan di peringkat negeri.
Selain itu, ACP Dr. Bakri Hj Zainal Abidin, mantan Ketua Polis Daerah Hilir Perak dan alumni Sarjana Sains (Pembangunan Sumber Manusia, 2007), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, membawa dimensi kepimpinan yang berteraskan pembangunan modal insan, memperkukuh organisasi melalui pendekatan berasaskan ilmu dan keupayaan manusia.
Kehadiran alumni UTM dalam barisan kepimpinan PDRM ini membuktikan bahawa laluan graduan tidak terhad kepada sektor teknikal atau industri semata-mata.
Sebaliknya, mereka turut memainkan peranan penting dalam bidang keselamatan, tadbir urus dan perkhidmatan awam antara sektor yang menuntut tahap integriti dan kepercayaan yang tinggi.
Lebih daripada sekadar kerjaya, perkhidmatan dalam PDRM menuntut keberanian, disiplin dan komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap negara. Nilai inilah yang turut dipupuk sepanjang perjalanan akademik di UTM.
Dalam masa yang sama, hubungan strategik antara UTM dan PDRM terus diperkukuh melalui pelbagai inisiatif kerjasama.
Antaranya termasuk penubuhan Makmal Satelit Forensik Geospatial UTM–PDRM, yang memanfaatkan teknologi dan kepakaran penyelidikan dalam menyokong siasatan jenayah secara lebih berkesan dan berimpak.
Daripada pegawai di barisan hadapan hingga ke kepimpinan tertinggi, pencapaian dan sumbangan alumni UTM dalam PDRM mencerminkan kekuatan ekosistem pendidikan universiti ini dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi ilmu, tetapi juga berintegriti serta berbakti kepada masyarakat.
Sempena Hari Polis, kisah mereka adalah refleksi bahawa kepimpinan tidak dibentuk oleh satu disiplin semata-mata. Dari kejuruteraan ke kepolisan, ilmu diterjemah menjadi khidmat dan akhirnya, menjadi benteng kepada negara. - UTMNewsHub