DALAM era ekonomi digital yang semakin pesat berkembang, pemilihan bidang pengajian di Institut pengajian Tinggi (IPT) merupakan keputusan penting yang akan mempengaruhi masa depan.

Persoalan yang sering timbul ialah sama ada pemilihan bidang tersebut perlu didorong oleh minat peribadi atau oleh pertimbangan peluang pekerjaan pada masa hadapan.

Struktur pasaran pekerjaan di Malaysia kini telah berubah seiring dengan perkembangan teknologi seperti Artificial Intelligence, automasi dan analitik data. Justeru, banyak bidang pekerjaan mula mengalami perubahan, manakala sebahagian lagi berisiko digantikan oleh teknologi.

Keadaan ini menuntut pelajar dan ibu bapa untuk melihat pemilihan bidang pengajian bukan sekadar sebagai keputusan akademik, tetapi juga sebagai keputusan ekonomi yang mempunyai implikasi jangka panjang terhadap kestabilan kerjaya dan kesejahteraan kewangan.

- Advertisement / Iklan -

Pendidikan sebagai pelaburan masa depan

Dari perspektif Pendidikan ekonomi, pendidikan dianggap sebagai satu bentuk pelaburan modal insan. Individu melaburkan masa, tenaga dan kos pendidikan dengan harapan memperoleh pulangan dalam bentuk peluang pekerjaan yang lebih baik serta pendapatan yang lebih tinggi pada masa hadapan.

- Advertisement / Iklan -

Namun begitu, pulangan daripada pelaburan pendidikan sangat bergantung kepada sejauh mana bidang pengajian yang dipilih selari dengan keperluan pasaran buruh. Ketidakpadanan antara kelayakan akademik dan pekerjaan – yang sering disebut sebagai graduate mismatch – boleh menyebabkan graduan sukar mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan mereka.

Fenomena ini bukan sahaja memberi kesan kepada graduan, malah turut menjejaskan produktiviti ekonomi negara sekiranya bakat dan kemahiran tidak dimanfaatkan secara optimum.

Perkembangan pesat teknologi digital turut mencetuskan satu persoalan penting: pekerjaan manakah yang akan kekal relevan pada masa hadapan? Teknologi seperti robotik semakin berupaya melaksanakan tugas yang sebelum ini dilakukan oleh manusia.

Oleh itu, pemilihan bidang pengajian perlu mengambil kira perubahan struktur pekerjaan yang sedang berlaku dalam ekonomi digital.

Menghubungkan bidang pengajian dengan risiko automasi

Dalam usaha memahami isu ini dengan lebih mendalam, penyelidikan ekonomi boleh memainkan peranan penting.

Melalui pendekatan analisis pasaran buruh, penyelidik boleh menilai hubungan antara bidang pengajian, jenis pekerjaan yang diceburi oleh graduan, serta tahap risiko automasi terhadap pekerjaan tersebut.

Pembinaan indeks risiko automasi berdasarkan bidang pengajian graduan di Malaysia amat penting bagi menghubungkan tiga elemen utama: bidang pengajian di universiti, jenis pekerjaan yang biasanya diceburi oleh graduan, dan kebarangkalian pekerjaan tersebut digantikan oleh teknologi automasi pada masa hadapan.

Pendekatan ini membolehkan kita memahami dengan lebih jelas bidang pengajian manakah yang berpotensi menghadapi risiko automasi yang lebih tinggi, serta bidang yang dijangka lebih tahan terhadap perubahan teknologi.

Maklumat seperti ini amat penting untuk membantu pelajar membuat keputusan pendidikan yang lebih berasaskan data dan bukti, bukan semata-mata bergantung kepada persepsi atau trend pekerjaan semasa.

Kepentingan bidang strategik negara

Selain pertimbangan individu, pemilihan bidang pengajian juga mempunyai implikasi strategik kepada negara. Bidang seperti teknologi, analisis data, ekonomi, logistik dan keselamatan memainkan peranan penting dalam menyokong pembangunan negara serta meningkatkan daya saing ekonomi.

Dalam konteks Ekonomi Pertahanan, pembangunan modal insan dalam bidang strategik amat penting dalam memastikan negara mempunyai kepakaran tempatan untuk menghadapi cabaran keselamatan ekonomi, dasar awam dan memahami implikasi perubahan teknologi terhadap struktur ekonomi serta kestabilan nasional.

Mengimbangi minat dan realiti pasaran kerja

Walaupun peluang pekerjaan merupakan faktor penting, minat pelajar tidak seharusnya diketepikan sepenuhnya. Minat yang mendalam terhadap sesuatu bidang boleh meningkatkan motivasi pembelajaran, daya tahan akademik dan potensi kecemerlangan dalam kerjaya.

Namun, pendekatan yang lebih realistik perlu diambil. Pemilihan bidang pengajian seharusnya mengambil kira keseimbangan antara minat peribadi, potensi kerjaya serta perubahan struktur ekonomi yang dipacu oleh teknologi.

Sehubungan itu, pelajar perlu memahami bahawa bidang pengajian yang dipilih hari ini bukan sahaja menentukan laluan kerjaya mereka, tetapi juga kemampuan mereka untuk menyesuaikan diri dengan ekonomi masa depan yang semakin dinamik.

Akhirnya, pemilihan bidang pengajian bukan sekadar persoalan minat atau peluang pekerjaan semata-mata. Ia merupakan keputusan penting yang memerlukan pertimbangan ekonomi, teknologi dan kepentingan strategik negara.

* Dr Zarina Kassim ialah pensyarah di Fakulti Pengajian dan Pengurusan, UPNM