DALAM keadaan kos sara hidup yang makin mencabar, Universiti Teknologi MARA (UiTM) tampil dengan satu inisiatif yang cukup dekat di hati mahasiswa iaitu Menu Siswa Rahmah dan Tabung Suspended Meal.

Inisiatif yang digerakkan oleh Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) dengan kerjasama Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR) serta Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP) ini diperkenalkan bagi memastikan kebajikan pelajar terus terjaga, terutamanya apabila melibatkan keperluan asas seperti makanan.

Program tersebut dijangka dilaksanakan sepenuhnya bermula semester hadapan.

Bagi Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Prof. Dr. Abd. Rasid Abd. Rahman, inisiatif ini bukan sekadar menyediakan makanan pada harga berpatutan, tetapi juga satu usaha untuk membantu pelajar fokus kepada pengajian tanpa perlu terlalu risau tentang kos harian.

- Advertisement / Iklan -

Menurut beliau, Menu Siswa Rahmah yang ditawarkan pada harga RM5 diharap dapat memberi pilihan makanan yang lebih mampu milik kepada mahasiswa di kampus.

“Usaha ini bukan sekadar inisiatif kebajikan, tetapi juga satu langkah untuk memastikan pelajar dapat belajar dalam suasana yang lebih selesa dan kondusif,” katanya.

- Advertisement / Iklan -

Selain itu, pengenalan Tabung Suspended Meal turut membuka ruang kepada warga kampus untuk berkongsi rezeki dengan pelajar lain yang memerlukan.

Melalui konsep ini, sesiapa sahaja boleh menaja hidangan kepada pelajar lain secara langsung. Pendekatan ini secara tidak langsung memupuk budaya empati, ihsan dan semangat kebersamaan dalam komuniti kampus.

Menariknya, inisiatif ini turut mendapat sokongan daripada pihak vendor kampus, Capai Hasrat Enterprise, yang melaksanakan program tersebut sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat mereka.

Dalam kerjasama ini, FKPM memainkan peranan sebagai penggerak utama dari segi promosi dan hebahan, manakala urusan kutipan serta pengagihan tajaan diuruskan sepenuhnya oleh pihak pengusaha makanan.

Majlis pelancaran inisiatif ini disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Profesor Dr. Mohd Sazili Shahibi, yang turut menyatakan sokongan terhadap usaha memperkasakan kebajikan mahasiswa di kampus.

Langkah ini membuktikan bahawa kecemerlangan sesebuah universiti bukan sahaja diukur melalui pencapaian akademik, tetapi juga melalui keprihatinan terhadap kesejahteraan warganya.