Melahirkan mahasiswa industri kreatif holistik, 'industry ready' dan berteraskan adab terpuji
LANSKAP industri kreatif kontemporari kini sedang melalui fasa peralihan paradigma yang amat signifikan, didorong oleh kepesatan teknologi digital, kecerdasan buatan (artificial intelligence) serta kepelbagaian platform media baharu.
Daripada kemajuan penerbitan media interaktif, pembangunan industri muzik dan filem hinggalah kepada penganjuran seni persembahan berskala besar yang kian progresif, sektor ekonomi kreatif ini mendambakan modal insan berkualiti tinggi.
Graduan pada masa ini tidak boleh sekadar mahir menguasai teori di bilik kuliah semata-mata, sebaliknya dituntut memiliki kecekapan praktikal serta daya kepimpinan yang tangkas dalam mendepani cabaran pasaran semasa yang kian kompleks, rencam dan kompetitif.
Sempena sambutan sedekad penubuhan Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA), Universiti Utara Malaysia (UUM), penganjuran Festival Apresiasi Seni 2026 (FEAS26) menterjemahkan visi transformatif dalam agenda pemerkasaan mahasiswa.
Inisiatif berimpak tinggi ini digembleng selaras dengan keperluan semasa industri kreatif yang menuntut integrasi padu antara kecemerlangan ilmiah dengan kemahiran amali di lapangan sebenar.
Penganjuran FEAS26 menolak tanggapan lazim bahawa ia sekadar sebuah acara kebudayaan tahunan yang melengkapkan takwim akademik.
Sebaliknya, wahana berskala besar ini berperanan sebagai platform strategik bersepadu yang merapatkan jurang antara universiti dengan ekosistem industri kreatif serta masyarakat.
Menerusi kaedah pembelajaran amali secara langsung (hands-on) yang merangkumi pengurusan acara, pameran, pementasan karya seni, pertandingan kebudayaan serta inovasi media digital, mahasiswa diletakkan pada posisi barisan hadapan dalam merencana dan melaksana festival ini.
Pengalaman berharga ini diperkukuh melalui inisiatif pemindahan ilmu secara langsung, seperti Bengkel Pensijilan Penulisan Lagu anjuran MACP dan Faithful Publishing bersama karyawan industri muzik ternama.
Menerusi platform berwibawa seumpama ini, proses pemindahan ilmu menjadi simfoni yang harmoni kepada mahasiswa dalam mengenal ilmu dengan lebih ‘mesra’ serta memahami pandangan kontemporari daripada para pengamal industri yang berpengalaman luas.
Namun demikian, dalam keghairahan mengejar piawaian graduan sedia industri (industry ready), wacana akademik menuntut kita menyedari bahawa kecemerlangan akademik dan kemahiran teknikal (hard skills) semata-mata tidak lagi memadai bagi menjamin kelestarian kerjaya jangka panjang.
Industri kreatif masa kini amat mendahagakan pemikir berwawasan yang menguasai kemahiran insaniah (soft skills) yang utuh, keupayaan berfikir secara kritis, kepimpinan yang dinamik, kecekapan menyelesaikan masalah serta kebolehan bekerjasama dalam pasukan pelbagai ragam dan latarbelakang.
Menerusi sinergi strategik SCIMPA bersama tokoh industri terkemuka seperti Ts. Hairul Faizalizwan Ahmad Sofian (Ketua Pegawai Eksekutif Warnakala Studios merangkap CEO@Faculty SCIMPA) bersama barisan Profesor Adjung SCIMPA termasuk Datuk Afdlin Shauki (Presiden FDAM), Nizam Razak (Ketua Pegawai Eksekutif Monsta Studios), Datuk Asfarena Samion (Ketua Pegawai Eksekutif AFSM Sewtech Academy) serta Felo Adjung SCIMPA yang juga pengarah filem tersohor, Ismail Bob Hashim, mahasiswa didedahkan secara telus kepada realiti industri perniagaan kreatif.
Jalinan kerjasama ini berupaya mengasah daya kepimpinan serta menyemai minda keusahawanan kreatif (creative entrepreneurship) yang matang, berwibawa dan berdaya saing dalam mendepani iklim perniagaan global yang pantas berubah.
Walau bagaimanapun, tunjang utama kepada agenda kemenjadian mahasiswa di SCIMPA berakar umbi pada satu anjakan yang jauh lebih mendalam, iaitu melangkaui batas kecerdasan intelek (Intelligent Quotient - IQ) dan kecerdasan emosi (Emotional Quotient - EQ).
Realiti industri kreatif merupakan sebuah medan yang menuntut ketahanan luar biasa akibat tekanan kerja yang acap kali dikaitkan dengan ketidaktentuan kitaran projek, tarikh akhir yang ketat, persaingan komersial yang sengit, serta kritikan khalayak secara terbuka.
Justeru, penguasaan IQ yang tinggi untuk menjana idea bernas serta EQ yang baik untuk mengurus perhubungan interpersonal semata-mata masih berisiko tumbang sekiranya mahasiswa tidak dibekalkan dengan daya tahan mental (mental durability) dalam menyelesaikan masalah.
Hasrat SCIMPA dalam melahirkan mahasiswa yang mempunyai daya tahan mental (mental durability) menjadi asas paling kritikal dalam pembentukan jati diri penggiat seni profesional.
Daya tahan mental merujuk kepada kekuatan psikologi dan resilience untuk terus teguh berdiri, menyesuaikan diri secara positif, serta bangkit semula daripada sebarang kegagalan artistik mahupun kekecewaan komersial.
Dalam industri yang sering berhadapan dengan penolakan cadangan karya, pindaan idea kreatif berulang kali, kekangan peruntukan kewangan produksi serta desakan waktu yang mendesak, individu yang rapuh dari sudut psikologi mudah mengalami kelesuan minda (burnout) atau berputus asa di pertengahan jalan.
Di sinilah terletaknya komitmen jitu SCIMPA dalam membina kemenjadian mahasiswa dengan membentuk acuan mentaliti mahasiswa agar tidak gentar berhadapan dengan risiko, berkebolehan mengurus tekanan di bawah situasi getir, serta mendidik jiwa mereka agar menganggap teguran dan kritikan seni bukan sebagai pelemah semangat, sebaliknya sebagai wadah pematangan karya.
Daya tahan mental ini membolehkan mahasiswa bertindak matang dan berhemah semasa menangani krisis operasi, berupaya meneroka penyelesaian kreatif dalam keterbatasan sumber, serta sentiasa berfokus kepada visi jangka panjang.
Satu teras falsafah terulung yang tidak boleh dikompromi sama sekali ialah iltizam UUM dalam melahirkan mahasiswa yang sentiasa 'menjulang ilmu, mengakar adab'.
Kecerdasan daya fikir yang tinggi, ketahanan mental yang kental, serta kehebatan bakat seni yang unik hanyalah keindahan yang bersifat sementara sekiranya terpisah daripada pasak akhlak dan integriti peribadi.
Apabila ilmu dan kecemerlangan dijulang setinggi bintang di angkasa, adab mestilah dipasak sedalam-dalamnya sebagai akar tunjang yang membumikan kemanusiaan mahasiswa.
Dalam ekosistem industri kreatif yang berteraskan interaksi sosial, kolaborasi serta jaringan hubungan sesama manusia, adab berfungsi sebagai pasport utama yang membuka pintu kepercayaan di alam pekerjaan.
Sifat rendah hati untuk terus memperbaiki diri, kesantunan dalam pertuturan dan komunikasi digital, etika profesionalisme yang terpuji, menghormati sesama manusia tidak kira latarbelakang serta integriti moral yang tidak berbelah bahagi merupakan keperibadian mahasiswa kreatif yang didambakan.
Pengurus acara, penerbit, pengkarya mahupun pencipta kandungan yang ternama tidak wajar diukur sekadar melalui metrik ratings di media konvensional mahupun media sosial seperti bilangan pengikut, tanda suka (likes) atau jumlah tontonan semata-mata.
Sebaliknya, penjenamaan peribadi yang sebenar terpancar menerusi amanah menjadikan kerjaya seni sebagai peluang menjadi agen sosialis yang murni.
Secara keseluruhannya, integrasi simfoni empat dimensi utama iaitu kecemerlangan intelek (IQ), kematangan emosi (EQ), kekukuhan daya tahan mental (mental durability) serta pemerkasaan adab yang terpuji merupakan formula komprehensif dalam melahirkan graduan SCIMPA yang benar-benar holistik.
Melalui acuan ini, SCIMPA bukan sekadar melahirkan graduan yang memenuhi kebolehpasaran pekerjaan (marketable), malah melahirkan modal insan berjiwa kental, berakhlak mulia dan berwawasan luas yang bersedia memimpin industri kreatif di persada tanah air mahupun antarabangsa.
Kejayaan penganjuran FEAS26 membuktikan bahawa apabila mahasiswa diasuh secara seimbang dari aspek intelek, ketahanan mental dan keperibadian luhur, mereka berupaya menggalas amanah kepimpinan demi memastikan kemajuan dan kelastarian industri kreatif untuk jangka masa panjang.
* Dr. Syamsul Hirdi Muhid ialah Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA), UUM
