UTeM bina hab bakat AI dan keselamatan siber
PELUANG mahasiswa Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mendalami bidang kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber bakal diperkasa menerusi kemudahan pembelajaran serta penyelidikan lebih lengkap apabila bangunan baharu Fakulti Kecerdasan Buatan dan Keselamatan Siber (FAIX) dijangka siap hujung November ini.
Terletak di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, kompleks berkenaan dijadual memulakan operasi pada awal Januari 2027 dengan kapasiti menampung sehingga 1,700 pelajar dan 70 pensyarah pada satu-satu masa.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, pembangunan itu bukan sekadar menyediakan ruang akademik moden, malah menjadi sebahagian usaha universiti melahirkan tenaga mahir dalam bidang teknologi kritikal yang semakin diperlukan negara.
“Sebaliknya mencerminkan komitmen UTeM untuk melahirkan bakat berkemahiran tinggi dalam bidang teknologi kritikal yang semakin menjadi keperluan utama negara, khususnya ketika dunia berdepan ancaman siber semakin kompleks dan transformasi digital yang pesat,” katanya.
Kompleks berkenaan bakal dilengkapi empat dewan kuliah, 17 makmal dan sebuah auditorium bagi menyokong aktiviti pengajaran, pembelajaran serta penyelidikan.
Antara kemudahan utama yang disediakan termasuk makmal Sains Data, Embodied AI, Security Operations Center (SOC) dan Cyber Threat Intelligence yang memberi tumpuan kepada pembangunan kepakaran dalam bidang AI serta keselamatan siber.
Menurut Massila, kemudahan khusus itu dijangka memperluas keupayaan penyelidikan gunaan universiti, selain membolehkan pembangunan penyelesaian teknologi yang memenuhi keperluan industri dan sektor strategik negara.
"Pemilihan MITC sebagai lokasi baharu fakulti itu turut membawa nilai strategik memandangkan kawasan berkenaan menempatkan pelbagai agensi pentadbiran kerajaan negeri dan persekutuan.
"Malah, tapak pembangunan FAIX sebelum ini menempatkan bangunan Melaka Planetarium yang terletak di tengah bulatan utama MITC dan pernah menjadi antara lokasi tumpuan pengunjung di negeri Melaka," katanya.
Massila berkata, kedudukan itu membuka peluang kepada UTeM memperluas kerjasama dengan agensi kerajaan, khususnya dalam aspek keselamatan data, perlindungan infrastruktur digital dan pelaksanaan projek pendigitalan negeri.
“Dalam era apabila data menjadi aset strategik dan keselamatan siber berkait rapat dengan kedaulatan digital negara, pembangunan kepakaran tempatan dalam bidang berkenaan bukan lagi pilihan, sebaliknya satu keperluan,” katanya.
Pembangunan FAIX dijangka memperkukuh peranan UTeM dalam menyediakan tenaga profesional berkemahiran tinggi, sekali gus menyokong keperluan negara terhadap kepakaran AI dan keselamatan siber yang semakin penting dalam era pendigitalan.
