UNIMAS bantu 100 pelajar luar bandar tingkat penguasaan Bahasa Melayu SPM
UNIVERSITI Malaysia Sarawak (UNIMAS) menerusi Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi (FPBK) meneruskan kerjasama dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Simunjan bagi memperkukuh penguasaan Bahasa Melayu dalam kalangan 100 pelajar daripada empat sekolah menengah di daerah itu menerusi Program Kolaboratif Bahasa Melayu SPM UNIMAS-PPD Simunjan Siri II: 2026.
Program itu menyasarkan pelajar yang memperoleh gred B untuk dibimbing mencapai gred A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026.
Menurut kenyataan UNIMAS, program berkenaan merupakan kesinambungan daripada Siri I yang diadakan pada tahun lepas dan membantu 118 pelajar yang berada pada tahap gagal lulus.
Selain itu, seramai 240 pelajar daripada sekolah sama turut menyertai Kem Sci-Math SEEP 2025 anjuran PPD Simunjan di UNIMAS dengan kerjasama dan koordinasi FPBK.

Ketua Penolong Pengarah Kanan (Sains Sosial) Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak, Edwin Apok menyifatkan kerjasama strategik antara PPD dan universiti seperti UNIMAS penting bagi memastikan pelajar luar bandar mendapat akses pendidikan berkualiti setanding dengan pelajar di bandar.
Program Siri II itu dirangka berdasarkan analisis penilaian AR2 calon SPM 2026 yang menunjukkan seramai 140 calon di daerah Simunjan memperoleh gred B dalam ujian Bahasa Melayu.
Jumlah berkenaan menunjukkan kelompok pelajar yang berpotensi mencapai kecemerlangan, namun memerlukan strategi pembelajaran dan teknik menjawab yang lebih tepat untuk melonjak ke gred A.
Sehubungan itu, program berkenaan memberi tumpuan kepada pengukuhan teknik penulisan karangan Bahasa Melayu SPM Kertas 1 Bahagian A dan B, khususnya kemahiran mengarang serta teknik menjawab soalan.
Sesi dikendalikan Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi, Seksyen Bahasa Melayu FPBK, Muhammad Qhidir Mat Isa yang mempunyai pengalaman sebagai Editor Parlimen Malaysia, Pegawai Perhubungan Awam Kementerian Komunikasi, Munsyi Dewan dan Munsyi Muda Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Modul berasaskan bukti yang dibawakan beliau dimulakan dengan analisis soalan SPM dari 2020 hingga 2025 yang mendapati tema Pendidikan, Pembangunan Murid dan Kerjaya paling kerap diuji, iaitu sebanyak 24 peratus.

Berdasarkan dapatan itu, pelajar dibimbing membina wacana yang utuh dan berkohesi menerusi panduan penulisan serta pengolahan naratif karangan berasaskan Teori Puitika Sastera Melayu (1987) karya Sasterawan Negara, Muhammad Haji Salleh, selain teknik tatabahasa binari, peleburan dan scaffolding.
"Pelajar gred B sudah memiliki teknik. Yang membezakan mereka daripada calon gred A ialah strategi, kerana strategi menjimatkan fokus dan masa," katanya.
Program itu menghimpunkan 40 pelajar SMK Simunjan No. 1 serta masing-masing 20 pelajar dari SMK Sri Sadong, SMK Gedong dan SMK Sebuyau, dengan iringan lapan guru.
Turut hadir wakil PPD Simunjan dan pihak pengurusan SMK Simunjan No. 1.

Menurut kenyataan itu lagi, UNIMAS terus komited meningkatkan impak sosial dan ekonomi komuniti menerusi kecemerlangan pengajaran, penyelidikan serta jalinan strategik, selaras dengan visinya sebagai universiti global terkemuka bagi masa depan lestari.
Di peringkat fakulti, FPBK pula berusaha menerajui kecemerlangan dalam bidang pendidikan, bahasa dan komunikasi demi pembangunan komuniti lestari.
Selari dengan peningkatan program TESOL dan Pendidikan Bahasa Iban pada masa akan datang, FPBK turut memainkan peranan dalam menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4 berkaitan akses kepada pendidikan berkualiti yang inklusif dan saksama, khususnya bagi sekolah luar bandar di Sarawak.
Fakulti itu juga mengalu-alukan kerjasama dengan pejabat pendidikan daerah bagi memastikan pelajar di kawasan luar bandar seperti Simunjan turut menikmati peluang pendidikan berkualiti.
