UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI) diberi kepercayaan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menerajui kepimpinan Majlis Wakaf, Endowmen dan Zakat Universiti Awam (MAWEZ) bagi tempoh 2026 hingga 2029.

Pengarah Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS) UPSI yang juga Pengerusi MAWEZ, Profesor Madya Dr Mohd Abdul Nasir Abd Latif berkata, pelantikan itu mencerminkan pengiktirafan terhadap kepakaran dan pengalaman universiti berkenaan dalam pengurusan wakaf, endowmen dan zakat.

Beliau berkata, tanggungjawab itu turut menjadi amanah besar kepada UPSI untuk memperkukuh MAWEZ sebagai platform kerjasama strategik nasional dengan menyatukan kepakaran, pengalaman dan kekuatan 20 universiti awam (UA) bagi memperkasakan ekosistem wakaf, endowmen dan zakat dalam sektor pendidikan tinggi negara.

"Dengan semangat ukhuwah, keprihatinan dan komitmen bersama, MAWEZ berhasrat menjadikan kerjasama antara universiti awam sebagai kekuatan utama untuk meneroka peluang baharu, memperluas manfaat pendanaan Islam dan bersama-sama menyumbang kepada kelestarian pendidikan tinggi negara," katanya.

- Advertisement / Iklan -

Menurutnya, MAWEZ perlu membina kekuatan kolektif yang menggabungkan kepakaran, pengalaman dan sumber 20 UA bagi menghasilkan inisiatif lebih tersusun, inovatif serta memberikan impak signifikan kepada pendidikan tinggi negara.

Katanya, pendekatan strategik itu akan dilaksanakan menerusi pengukuhan tadbir urus, perkongsian amalan terbaik, penerokaan inovasi pendanaan serta peluasan jaringan kerjasama dengan agensi kerajaan, institusi korporat dan pihak berkepentingan.

- Advertisement / Iklan -

"Usaha berkenaan bertujuan memastikan wakaf, endowmen dan zakat tidak hanya berfungsi sebagai instrumen kebajikan dan bantuan sosial, malah berkembang sebagai sumber pendanaan alternatif yang mampu menyokong kelestarian kewangan universiti, pembangunan prasarana, kecemerlangan akademik serta kesejahteraan mahasiswa," katanya.

Beliau berkata, antara agenda utama yang diberi perhatian secara berfasa ialah pemerkasaan enam kluster strategik MAWEZ merangkumi kerjasama strategik dan pembangunan modal insan; governans dan perundangan; pendanaan dan penjanaan kewangan; pangkalan data dan pelaporan; penyelidikan dan inovasi; serta teknologi maklumat dan komunikasi.

Mengulas hala tuju kepimpinan baharu itu, Mohd Abdul Nasir berkata, kekuatan MAWEZ terletak pada semangat kebersamaan, kesediaan berkongsi kepakaran dan komitmen semua UA dalam membangunkan potensi wakaf, endowmen dan zakat secara lebih strategik.

"Melalui kerjasama strategik, perkongsian amalan terbaik dan kesepakatan dalam menentukan keutamaan, kita mampu memperluas potensi wakaf, endowmen dan zakat sebagai instrumen pendanaan alternatif yang mampan serta memberi manfaat lebih besar kepada universiti, mahasiswa dan masyarakat," katanya.

Beliau berkata, hala tuju MAWEZ bagi 2027 akan berteraskan tindakan bersama yang jelas dengan setiap universiti memainkan peranan berdasarkan kekuatan dan kepakaran masing-masing bagi memastikan agenda dirancang dapat dilaksanakan secara bersepadu dan berkesan.

Aspirasi itu menjadi antara fokus utama Mesyuarat dan Bengkel Perlembagaan serta Hala Tuju MAWEZ 2027 yang berlangsung pada 6 hingga 8 November 2026 di Scholar’s Suites, UPSI, dengan penyertaan wakil daripada 20 UA.

Menurutnya, bengkel berkenaan memberi tumpuan kepada pemurnian draf Perlembagaan MAWEZ, pengukuhan struktur organisasi dan fungsi urus setia serta penetapan keutamaan strategik bagi 2027.

Hasil perbincangan dan resolusi bengkel itu diharapkan menjadi asas kepada gerak kerja MAWEZ yang lebih dinamik, inklusif dan berorientasikan impak, sekali gus memperkukuh kerjasama antara UA dalam membangunkan ekosistem wakaf, endowmen dan zakat yang lebih mampan.