USIM raih 5 Bintang MyMoHES
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sekali lagi mencuri perhatian apabila berjaya meraih penarafan 5 Bintang MyMoHES dengan markah penuh 100 peratus buat pertama kali dalam sejarah universiti itu.
Pencapaian ini sekali gus meletakkan USIM dalam kelompok universiti awam berprestasi tinggi di Malaysia.
Pengiktirafan di bawah sistem penilaian Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT) ini bukan sekadar angka, tetapi gambaran jelas tentang prestasi menyeluruh USIM daripada aspek pengurusan, kecemerlangan akademik hinggalah kepada tadbir urus institusi.
Menurut Naib Canselor USIM, Profesor Datuk Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, kejayaan tersebut mencerminkan usaha berterusan seluruh warga universiti dalam merealisasikan aspirasi kecemerlangan yang berteraskan integrasi ilmu Naqli dan Aqli, iaitu pendekatan pendidikan yang menjadi identiti utama universiti itu.
Katanya, memperoleh markah penuh dalam semua komponen penilaian MyMoHES membuktikan komitmen USIM dalam memperkukuh ekosistem akademik, meningkatkan kualiti tenaga pengajar, memacu penyelidikan berimpak tinggi serta memastikan tadbir urus institusi kekal kukuh dan berintegriti.
“Penarafan 5 Bintang ini bukan sekadar satu pengiktirafan, tetapi amanah untuk kami terus meningkatkan standard pendidikan tinggi, memperhebat penyelidikan berimpak serta melahirkan graduan yang holistik dan berdaya saing,” katanya.
- Advertisement / Iklan -
Beliau turut menambah bahawa pencapaian ini selari dengan pelaksanaan Pelan Strategik USIM yang memberi fokus kepada kecemerlangan akademik, pembangunan bakat, inovasi penyelidikan dan pengukuhan jaringan industri.
Lebih menarik, kejayaan ini membuktikan bahawa USIM bukan sahaja mampu bersaing dalam kalangan universiti awam, malah berjaya mencapai standard penilaian tertinggi di peringkat nasional.
Dengan pengiktirafan 5 Bintang ini, USIM terus mengorak langkah sebagai antara universiti pilihan yang bukan sahaja menekankan kecemerlangan akademik, tetapi juga berperanan besar dalam menyumbang kepada pembangunan ummah dan negara.
