UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Persatuan Kejuruteraan Perisian (PKP), Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (FKMT) menganjurkan program Edutech Convergence 2026: “Kick-Off Connection Beyond Boundaries” secara dalam talian bagi memperkukuh jaringan kerjasama dalam bidang kejuruteraan perisian merentas sempadan.

Program yang berlangsung menerusi siaran langsung YouTube menghimpunkan wakil industri, kepimpinan persatuan pelajar kejuruteraan perisian daripada institusi pengajian tinggi tempatan serta organisasi pelajar antarabangsa dari Indonesia dan Korea Selatan bagi berkongsi pengalaman serta meneroka peluang kolaborasi.

No Image Caption

Majlis perasmian disempurnakan Dekan FKMT UPSI, Prof. Madya Dr. Ing. Maizatul Hayati Mohamad Yatim yang menekankan kepentingan penguasaan kemahiran teknikal dan insaniah dalam kalangan mahasiswa bagi menghadapi perkembangan teknologi serta memenuhi keperluan industri.

- Advertisement / Iklan -

“Kejuruteraan perisian kini berkembang tanpa sempadan. Mahasiswa perlu memiliki keberanian intelektual dan kemahiran insaniah untuk memimpin perubahan teknologi global, sekali gus memastikan ilmu yang dipelajari di universiti kekal relevan dengan kehendak industri pasca-graduasi,” katanya.

No Image Caption

- Advertisement / Iklan -

Program diteruskan dengan Slot 1: Bright Scholar Academy (BSA) yang menampilkan Pengasas BSA, Muhammad Hakimi Mastor bagi berkongsi prospek kerjaya serta keperluan kemahiran teknikal dalam industri.

Perkongsian itu memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenai kehendak pasaran kerja dan kemahiran yang perlu dipersiapkan sebelum memasuki alam pekerjaan.

No Image Caption

Slot 2, Malaysian Software Clubs Roundtable pula menghimpunkan kepimpinan kelab kejuruteraan perisian daripada beberapa institusi pengajian tinggi tempatan, termasuk PKP UPSI, Software Engineering and Programming Club (SEPC) Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Information Technology (UniKL MIIT), Information Systems Engineering Club (ISEC) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dan Software Engineering Club (SEC) Universiti Putra Malaysia (UPM).

Sesi itu turut disertai wakil Artificial Intelligence and Cybersecurity Student Association (AIXA) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) sebagai peserta.

Perbincangan berkenaan menjadi platform pertukaran pandangan dan idea bagi memperkukuh kerjasama antara persatuan menerusi cadangan penganjuran bengkel teknikal, pertandingan serta program hackathon secara bersama, selain membuka peluang membina jaringan strategik dan meneroka potensi kolaborasi pada masa hadapan.

Kemuncak program menyaksikan forum “Software Engineering Beyond Boundaries” menampilkan tiga panel jemputan dari Malaysia, Korea Selatan dan Indonesia.

No Image Caption

Panel terdiri daripada alumni Kejuruteraan Perisian UPSI yang juga mantan Exco Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI sidang 2023/2024, Raja Nur Aliesa Raja Husain; wakil Persatuan Pelajar Malaysia Korea (PPMK) yang juga mahasiswa Universiti Dongyang Mirae, Korea Selatan, Vida Adriana Richard; serta Naib Presiden HIMAPRO TI SAKTI (Himpunan Mahasiswa Program Studi Teknik Informatika, Sindikat Akademik Teknik Informatika), Institut Teknologi dan Bisnis ASIA Malang, Indonesia, Fika Aulia.

Forum itu membincangkan perbezaan silibus pengajian kejuruteraan perisian antara negara, perkembangan teknologi perisian semasa serta persediaan mahasiswa dalam menghadapi cabaran industri global.

Program berkenaan turut mendapat penglibatan aktif peserta menerusi ruangan sembang siaran langsung (live chat) dan sesi soal jawab dalam talian.

Pengarah Program, Haiqal Hazim Sahrolfarizal berkata, program itu bukan sekadar majlis perjumpaan maya, sebaliknya menjadi titik permulaan dalam membina ekosistem kolaborasi mampan berteraskan moto “Connection Beyond Boundaries”.

Menurutnya, penglibatan peserta dari dalam dan luar negara membuktikan minat mahasiswa terhadap perkongsian rentas institusi, selain membuka peluang kerjasama pada masa hadapan.

Inisiatif itu diharapkan dapat memberi inspirasi kepada mahasiswa di kampus lain untuk membina jaringan kerjasama serta meningkatkan penguasaan dalam bidang teknologi, sekali gus menyokong aspirasi negara melahirkan modal insan berkaliber dan kalis masa hadapan (future-proof).