DUA inovasi pendidikan hasil kreativiti warga TVETMARA Sungai Petani, iaitu Mirror Makhraj 3D dan Dyslearn Iqra', masing-masing meraih Anugerah Emas dalam pertandingan inovasi peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Menurut kenyataan TVETMARA Sungai Petani, kejayaan itu membuktikan keupayaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menghasilkan inovasi berasaskan teknologi serta kemahiran teknikal yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat.

Mirror Makhraj 3D meraih Gold Award menerusi University of Malaya Mastery in Innovative Teaching Colloquium sempena International University Carnival on E-Learning.

No Image Caption

- Advertisement / Iklan -

Inovasi itu menggunakan pendekatan visualisasi tiga dimensi bagi membantu pelajar memahami kedudukan lidah, bibir dan bahagian artikulasi ketika menyebut huruf hijaiyah, sekali gus menyokong proses pengajaran makhraj huruf dengan lebih jelas dan interaktif.

Sementara itu, Dyslearn Iqra' turut meraih Gold Award dalam pertandingan inovasi pendidikan anjuran Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi pendekatan pembelajaran yang mengambil kira keperluan individu yang menghadapi kesukaran pembelajaran seperti disleksia.

- Advertisement / Iklan -

Inovasi berkenaan mengetengahkan kepentingan pendidikan inklusif dengan menyediakan pendekatan pembelajaran bersesuaian mengikut keupayaan individu bagi memastikan setiap golongan mendapat peluang untuk belajar.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua pengiktirafan berkenaan membuktikan TVET bukan sekadar berperanan melahirkan tenaga kerja berkemahiran untuk memenuhi keperluan industri, malah mampu menghubungkan kepakaran teknikal dengan inovasi pendidikan dan keperluan masyarakat.

No Image Caption

Bagaimanapun, kejayaan inovasi bukan hanya diukur berdasarkan pengiktirafan yang diterima, sebaliknya turut bergantung pada keberkesanannya apabila digunakan oleh masyarakat.

Sehubungan itu, peluasan penggunaan inovasi, penilaian keberkesanan pembelajaran serta kerjasama dengan institusi pendidikan dan komuniti perlu diberikan perhatian bagi memastikan manfaatnya dapat diperluaskan.

Kejayaan Mirror Makhraj 3D dan Dyslearn Iqra' juga diharap menjadi pemangkin kepada pembudayaan penyelidikan, kreativiti dan inovasi dalam kalangan warga akademik serta pelajar TVETMARA Sungai Petani.

No Image Caption