MALAYSIA semakin mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pendidikan tinggi global apabila berjaya disenaraikan dalam kelompok 14 destinasi pendidikan tinggi utama dunia (World-Leading Student Destinations), sebaris dengan negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia dan Kanada.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pencapaian itu bukan sekadar membabitkan angka atau kedudukan dalam senarai antarabangsa, sebaliknya menjadi pengiktirafan terhadap keupayaan universiti tempatan serta kekuatan ekosistem pendidikan tinggi negara.

“Bagi saya, pencapaian ini bukan sekadar tentang angka atau kedudukan. Ia adalah pengiktirafan terhadap keupayaan universiti kita, kualiti para akademia, kekuatan ekosistem pendidikan tinggi dan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia,” katanya.

Zambry berkata, lebih membanggakan, Malaysia mencatatkan pertumbuhan ketiga tertinggi dunia dalam tempoh lima tahun, iaitu sebanyak 70 peratus, selain merekodkan peningkatan 16 peratus bagi pertumbuhan tahun ke tahun dalam kelompok Big 14.

- Advertisement / Iklan -

"Perkembangan itu memperlihatkan perubahan landskap pendidikan tinggi negara apabila Malaysia bukan lagi sekadar menjadi destinasi penghantaran pelajar ke luar negara, malah semakin mendapat perhatian sebagai tempat pilihan penuntut antarabangsa melanjutkan pengajian.

"Sebelum ini, negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia sering menjadi pilihan utama pelajar yang ingin melanjutkan pengajian di luar negara. Kini, Malaysia turut berada dalam kelompok destinasi yang mendapat perhatian dunia," katanya.

- Advertisement / Iklan -

Menurutnya, antara kekuatan yang menjadikan negara ini semakin kompetitif ialah penawaran pendidikan tinggi berkualiti pada kos yang lebih berpatutan, selain kepelbagaian program pengajian dan keupayaan institusi tempatan membina jaringan akademik antarabangsa.

Bagi Zambry, aspirasi Malaysia bukan sekadar menghantar anak tempatan menimba ilmu di negara lain, tetapi turut menjadikan negara ini tempat pelajar dari seluruh dunia datang mencari ilmu.

"Usaha memperkukuh reputasi universiti, meningkatkan kualiti penyelidikan dan memperluas kerjasama antarabangsa penting bagi memastikan momentum pertumbuhan itu dapat dikekalkan.

"Pencapaian tersebut sekali gus membuka ruang lebih luas kepada institusi pendidikan tinggi tempatan untuk meningkatkan daya saing, menarik bakat antarabangsa dan memainkan peranan lebih besar dalam landskap pendidikan global," katanya.