UNIVERSITI Kebangsaan Malaysia (UKM) mencipta sejarah apabila buat pertama kali berjaya menempatkan diri dalam kelompok 20 universiti terbaik Asia menerusi QS Asia University Rankings 2027.

Pencapaian itu menyaksikan UKM menduduki tempat keempat di Asia Tenggara dan kedua di Malaysia, sekali gus mencatat kedudukan tertinggi universiti itu sejak penarafan berkenaan diperkenalkan pada 2009.

Malah, UKM turut mencatat peningkatan empat anak tangga berbanding tahun sebelumnya dan melonjak sebanyak 35 anak tangga dalam tempoh sedekad, daripada kedudukan ke-55 pada 2017 kepada ke-20 pada 2027.

Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Sufian Jusoh menyifatkan kejayaan itu sebagai mercu tanda penting yang membanggakan seluruh warga universiti dan negara.

- Advertisement / Iklan -

Beliau berkata, kejayaan menembusi kelompok 20 universiti terbaik Asia buat kali pertama membuktikan keupayaan UKM untuk berdiri sebaris dengan institusi pendidikan tinggi terkemuka di rantau ini.

“Pencapaian ini merupakan hasil iltizam, usaha kolektif dan komitmen seluruh warga UKM dalam membudayakan kecemerlangan yang berterusan dalam akademik, penyelidikan, inovasi dan pengantarabangsaan.

- Advertisement / Iklan -

“Lebih penting, kejayaan ini menjadi pemangkin kepada pelaksanaan Pelan Strategik UKM 2026–2030 (TEKAD57) dalam merealisasikan aspirasi universiti bertaraf dunia yang berjiwa kebangsaan, berteraskan kecemerlangan ilmu, kelestarian dan impak kepada masyarakat,” katanya.

Pada masa sama, Sufian menegaskan bahawa penarafan bukanlah satu-satunya ukuran kejayaan sesebuah universiti.

Sebaliknya, perkara lebih penting ialah keupayaan UKM menyediakan pendidikan berkualiti, menghasilkan penyelidikan yang memberi kesan kepada masyarakat serta melahirkan graduan yang mampu memenuhi keperluan semasa.

Beliau berkata, antara inisiatif yang dilaksanakan ialah kerjasama UKM dengan Massachusetts Institute of Technology (MIT) Open Learning menerusi program Universal AI yang menyediakan akses selama tiga tahun kepada pelajar dan kakitangan untuk meningkatkan pengetahuan serta kemahiran praktikal dalam bidang kecerdasan buatan (AI).

“Usaha seperti ini akan terus menjadi keutamaan UKM bagi meningkatkan kemahiran warga universiti agar kekal relevan dan terus menyumbang kepada peningkatan prestasi dan daya saing UKM di peringkat antarabangsa,” jelasnya.

Tambah beliau, kejayaan berada dalam kelompok 20 universiti terbaik Asia bukan sekadar pencapaian dalam penarafan antarabangsa, malah menjadi lambang keupayaan universiti kebangsaan mengangkat kecemerlangan pendidikan tinggi Malaysia ke persada dunia tanpa mengabaikan identiti, tanggungjawab dan aspirasi negara.

“UKM akan terus memperkukuh momentum kecemerlangan ini melalui pendidikan berkualiti, penyelidikan berimpak tinggi dan inovasi demi kesejahteraan masyarakat serta kemajuan negara,” katanya.