MINAT mendalam terhadap dunia keusahawanan mendorong seorang bekas arkitek meninggalkan kerjaya profesional demi mengusahakan penternakan lebah kelulut (kelulut).

Ahmad Izzuddin Mohd Nor, 39, dari Kampung Banggol Cempedak, Serada berkata, beliau bermula dengan satu sarang sebelum berjaya mengembangkannya secara berperingkat sehingga kini mencecah 220 sarang di tiga ladang di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Berang.

Lulusan Seni Bina Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor itu berkata, kegiatan penternakan kelulut dilakukan secara serius pada 2019, ketika seluruh dunia dilanda pendemik Covid-19.

"Selepas tamat pengajian di UTM pada 2013, saya pulang bekerja dengan sebuah syarikat pembinaan besar di Terengganu. Gaji pada waktu itu boleh dikatakan agak selesa.

- Advertisement / Iklan -

"Perjalanan dalam dunia kelulut bermula setelah seorang rakan menghadiahkan satu sarang kelulut untuk saya cuba secara suka-suka.

"Pada mulanya sekadar hobi mengisi masa lapang kerana kebetulan kawasan rumah luas dan lapang tetapi lama-kelamaaan saya dapati bidang ini mempunyai potensi perniagaan yang besar dan lumayan jika diusahakan secara serius atau komersial," katanya ketika ditemui Bernama di Galeri Kelulut Lior Farm, di Kampung Banggol Cempedak, Serada.

- Advertisement / Iklan -

Ahmad Izzuddin berkata, setiap bulan ladangnya mampu mengeluarkan antara 30 hingga 40 kilogram madu yang dijual pada harga sekitar RM300 sekilogram.

Lebah kelulut menghasilkan madu di dalam sarang di Galeri Kelulut Lior Farm, di Kampung Banggol Cempedak, Serada.
Lebah kelulut menghasilkan madu di dalam sarang di Galeri Kelulut Lior Farm, di Kampung Banggol Cempedak, Serada.

Beliau berkata, selain pasaran tempatan, produknya juga dijual melalui pengedar di Singapura dan Perancis yang yakin dengan kualiti madu ladangnya yang telah menjalani ujian ketulenan dan nutrisi di makmal Universiti Sains Malaysia (USM) Kelantan.

Beliau berkata, usaha gigih itu turut mendapat perhatian Institut Penyelidikan dan Kemajuan Penyelidikan Pertanian Malaysia (MARDI) yang menganugerahkan Geran Agropreneur Muda dan Usahawan Bimbingan Agropelancongan MARDI bagi meningkatkan lagi infrastruktur serta kualiti perkhidmatan ladang kelulut Lior Farm.

"Alhamdulillah, pada 2022 saya menerima Geran Agropreneur Muda berjumlah RM20,000 yang digunakan untuk membeli lebih banyak sarang kelulut bagi membesarkan lagi perniagaan.

"Berkat usaha keras saya dan isteri, Maizatul Afzan Yahya, 39, kami terus diberi kepercayaan oleh MARDI untuk geran Agropelancongan sebanyak RM200,000 pada tahun lepas.

"Dana itu kami gunakan untuk membina Galeri Kelulut Lior Farm yang menjadi pusat pendidikan dan lawatan pelancong. Kami difahamkan hanya lima usahawan kelulut di Malaysia yang dianugerahkan geran tersebut tahun lepas," katanya sambil menambah turut dibantu tiga pekerja.

Ahmad Izzuddin berkata, kewujudan galeri tersebut membuka peluang kepada perniagaannya untuk terus berkembang melalui aktiviti ekopelancongan.

Beliau berkata, program My First Harvest yang ditawarkan mulai April lepas telah menarik kunjungan bukan sahaja pelajar sekolah, malah pelancong, penyelidik serta aktivis alam sekitar dari pelbagai negara termasuk Jerman, Perancis, China dan Australia.

Selain memberi pengalaman menuai sendiri madu kelulut, katanya program itu juga mampu memupuk rasa cinta kepada alam sekitar yang turut menjadi tempat tinggal pelbagai spesies kelulut.

"Di sini kami ada enam spesies kelulut iaitu Heterotrigona Itama, Geniotrigona thoracica, Heterotrigona erythrogastra, Tetragonula laeviceps, Tetrigona apicalis dan ⁠Tetrigona binghami.

"Pelancong dari luar negara amat menghargai khazanah kelulut yang kita ada kerana spesies ini tiada di tempat mereka. Oleh itu mereka sanggup datang jauh untuk melihat sendiri penternakan kelulut," katanya.

Pengusaha, Ahmad Izzuddin Mohd Nor, 39, menunjukkan laman sesawang bagi menghimpunkan pelbagai urusan termasuk keahlian, pengurusan sarang, rekod tuaian, jualan madu dan aktiviti persatuan dalam satu platform digital di Galeri Kelulut Lior Farm, di Kampung Banggol Cempedak, Serada.
Pengusaha, Ahmad Izzuddin Mohd Nor, 39, menunjukkan laman sesawang bagi menghimpunkan pelbagai urusan termasuk keahlian, pengurusan sarang, rekod tuaian, jualan madu dan aktiviti persatuan dalam satu platform digital di Galeri Kelulut Lior Farm, di Kampung Banggol Cempedak, Serada.

Bagi memajukan lagi perusahaan madu kelulut, Ahmad Izzuddin yang juga Setiausaha Persatuan Lebah Kelulut Terengganu (PELEKAT) berkata beliau bersama rakannya telah membangunkan satu laman sesawang bagi menghimpunkan pelbagai urusan termasuk keahlian, pengurusan sarang, rekod tuaian, jualan madu dan aktiviti persatuan dalam satu platform digital.

Beliau berkata antara kelebihan utama sistem itu ialah setiap sarang kelulut dilengkapi kod pengenalan dan kod respons pantas (QR) tersendiri bagi membolehkan penternak merekod serta menyemak maklumat sarang dan aktiviti tuaian dengan lebih cepat.

Malah katanya, sistem itu turut dilengkapi dengan fungsi pengiraan stok madu secara automatik serta paparan graf bulanan yang membolehkan penternak memantau jumlah pengeluaran dan jualan madu masing-masing.

"Sistem ini memudahkan urusan pentadbiran persatuan serta pemantauan rekod ladang secara lebih sistematik. Ia boleh diakses melalui telefon pintar atau komputer tanpa perlu memuat turun aplikasi. Ahli hanya perlu melayari www.mypelekat.com sebelum log masuk untuk menggunakan kemudahan disediakan.

"Data ini sebenarnya boleh digunakan untuk pihak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk mengetahui nilai sebenar pengeluaran madu kelulut dalam negara.

"Secara keseluruhan, pembangunan sistem PELEKAT bukan sahaja memudahkan urusan harian penternak malah menyediakan pangkalan data yang lebih tersusun bagi membantu persatuan merancang pembangunan industri madu kelulut di Terengganu secara lebih berkesan," katanya. - Bernama