Dulu ikut ibu menoreh getah, kini Ambrose hadiahkan diploma
PERNAH dibawa ibunya menoreh getah ketika kecil kerana tiada sesiapa yang dapat menjaganya di rumah, Ambrose Lickaw Anak Lily, 20, akhirnya berjaya menggenggam Diploma Perhutanan di Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS), sekali gus menghadiahkan kejayaan itu kepada insan yang membesarkannya dengan penuh pengorbanan.
Graduan Fakulti Pertanian dan Perhutanan itu berkata, sebagai anak tunggal yang dibesarkan oleh ibu dan nenek, beliau menyaksikan sendiri kesusahan ibunya mencari rezeki demi memastikan keperluan keluarga mencukupi.
Menurutnya, ketika berusia dua tahun, ibunya terpaksa berhenti bekerja bagi menjaga nenek yang diserang strok sehingga tidak lagi mampu berjalan.
“Demi mencari rezeki, saya masih ingat ibu membawa saya bersama ketika menoreh getah kerana tiada sesiapa yang dapat menjaga saya di rumah.
“Saya tahu betapa peritnya usaha ibu mencari wang untuk membesarkan saya,” katanya.

Ambrose berkata, pengorbanan ibunya tidak terhenti di situ apabila wanita berkenaan sanggup menggunakan wang simpanan, malah terpaksa meminjam daripada saudara-mara bagi menampung perbelanjaan pengajiannya.
Katanya, antara detik paling menyentuh perasaan ialah apabila ibunya meluahkan kesedihan kerana kehabisan wang dan berasa malu untuk terus meminjam daripada orang lain.
“‘Ibu dah tak ada duit lagi, nak. Ibu malu nak pinjam duit daripada sesiapa lagi.’
“Kata-kata itu membuatkan saya sedar betapa besarnya pengorbanan ibu selama ini,” katanya.
Kesempitan kewangan turut menyebabkan Ambrose terpaksa meminjam wang daripada rakan-rakan untuk membeli makanan sepanjang berada di universiti.
Bagaimanapun, beliau memilih untuk merahsiakan kesusahan itu daripada ibunya kerana tidak mahu menambah beban dan kebimbangan wanita berkenaan.
Menurutnya, bantuan biasiswa dan pendidikan daripada Yayasan Sarawak serta kerajaan negeri banyak meringankan beban kewangan keluarga, khususnya bagi menjelaskan yuran pengajian dan menampung perbelanjaan harian.
Bantuan berkenaan membolehkannya memberikan lebih tumpuan kepada pelajaran tanpa perlu terlalu memikirkan kesempitan kewangan yang dihadapi keluarga.
Ambrose berkata, kejayaan menamatkan pengajian sempena Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) Ke-50 amat bermakna kerana menjadi peluang untuk membalas pengorbanan ibunya yang membesarkannya sepanjang 20 tahun.
Katanya, insan pertama yang terlintas dalam fikirannya selepas berjaya menggenggam diploma ialah ibunya yang selama ini berkorban masa, tenaga dan wang ringgit demi memastikan beliau mendapat pendidikan sempurna.
“Mak, terima kasih kerana mendidik dan menjaga saya sepanjang 20 tahun ini. Ini hadiah untuk mak, hadiah paling berharga yang dapat saya berikan.
“Ibu adalah emak dan ayah saya,” katanya.
Ambrose turut menasihatkan mahasiswa yang berdepan masalah kewangan supaya tidak malu mendapatkan bantuan, sebaliknya berusaha mencari peluang biasiswa dan bantuan pendidikan yang ditawarkan pelbagai pihak.
“Bantuan tidak akan datang kepada kita melainkan kita sendiri yang berusaha mencarinya,” katanya.
