KEHILANGAN bapa ketika berusia lima tahun dan ibu pada usia 14 tahun tidak mematahkan semangat Nazatul Mazwin Muhammad Daud, 20, untuk meneruskan pengajian sehingga berjaya menggenggam Diploma Perikanan di Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS).

Graduan Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan (FSPH) itu berkata, kejayaan menamatkan pengajian amat bermakna buat dirinya, lebih-lebih lagi apabila kedua-dua insan tersayang itu tidak berpeluang menyaksikan pencapaiannya.

“Jika ibu dan ayah berpeluang melihat kejayaan saya hari ini, saya percaya mereka pasti terkejut, terharu dan bangga melihat sejauh mana saya telah melangkah.

“Mereka mengenali saya sebagai anak yang manja, penakut dan kuat menangis ketika kecil. Walaupun saya kelihatan kuat ketika berdiri di sini, hanya saya dan Allah SWT yang tahu segala penat lelah serta pengorbanan yang dilalui untuk sampai ke tahap ini,” katanya.

- Advertisement / Iklan -

Menurut Nazatul Mazwin, arwah ibunya, Jalifah Ibrahim, menjadi sumber inspirasi dan kekuatan untuknya terus berusaha meskipun terpaksa menempuh pelbagai cabaran hidup.

Katanya, selepas kematian bapanya, Muhammad Daud Mohamad, ibunya terpaksa membesarkan lima anak seorang diri dan terus bekerja walaupun menghidap kanser payudara tahap empat.

- Advertisement / Iklan -

“Selepas ayah meninggal dunia, ibu berjuang seorang diri menyara kami lima beradik sehingga ke akhir hayatnya. Walaupun menghidap kanser payudara tahap empat, arwah ibu tetap kuat bekerja demi memastikan kami cukup makan dan dapat bersekolah.

“Arwah ibu lebih mengutamakan masa depan kami berbanding kesakitan yang ditanggungnya sendiri,” katanya.

Berkongsi pengalaman sepanjang pengajian di UPMS, anak kelahiran Manjung, Perak itu berkata, kehidupan sebagai pelajar perantau mengajarnya untuk lebih berdikari, khususnya dalam mengurus kewangan dan memenuhi keperluan harian.

Katanya, antara cabaran paling sukar ialah ketika semester pertama apabila terpaksa menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu, selain berdepan kekangan kewangan.

“Semester pertama merupakan tempoh paling mencabar kerana itu kali pertama saya menjejakkan kaki ke Sarawak. Saya perlu menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu serta belajar mengurus kewangan sendiri.

“Ketika itu, saya belum mempunyai pendapatan tambahan dan sering bimbang tentang perbelanjaan harian kerana tempoh pengajian masih panjang.

“Jadi, saya mencari pekerjaan yang boleh dilakukan di kolej tanpa perlu keluar, antaranya mengambil tempahan dan menghantar makanan kepada pelanggan,” katanya.

Nazatul Mazwin berkata, cabaran semakin terasa ketika menjalani latihan industri selama tiga bulan apabila terpaksa membahagikan masa antara latihan dan pekerjaan sambilan bagi menampung perbelanjaan.

“Saya perlu bekerja sambilan sehingga pukul 12 tengah malam. Pada hujung minggu yang sepatutnya menjadi waktu berehat, saya gunakan untuk bekerja.

“Keadaan itu menyebabkan saya sering keletihan kerana perlu membahagikan masa antara latihan industri dengan kerja sambilan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak pernah menyesali kesukaran yang dilalui kerana pengalaman itu menjadikannya lebih tabah, berdikari dan tidak mudah berputus asa.

Katanya, beliau juga tidak mahu terlalu bergantung kepada adik-beradik yang masing-masing mempunyai komitmen dan tanggungjawab sendiri.

“Saya ingin menjadi seorang anak dan adik yang berjaya, mampu berdikari serta membina masa depan sendiri tanpa menyusahkan sesiapa.

“Itulah yang menjadi kekuatan saya untuk terus bertahan walaupun terpaksa mengorbankan masa rehat dan keselesaan diri,” katanya.

Nazatul Mazwin turut berpesan kepada pelajar yang berdepan kesukaran hidup supaya sentiasa berpegang teguh kepada agama dan kepercayaan masing-masing serta tidak mudah berputus asa dalam mengejar cita-cita.

“Jangan sesekali memilih jalan yang salah untuk menyelesaikan masalah kerana tindakan itu hanya akan menambah masalah. Sebaliknya, carilah jalan yang betul walau sesukar mana pun keadaan.

“Allah SWT tidak akan menguji seseorang di luar kemampuannya. Jangan pernah berputus asa dan teruskan usaha kerana setiap usaha pasti akan membuahkan hasil,” katanya.