SERAMAI 13 mahasiswa tahun akhir Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) membangunkan 10 projek berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi menyokong transformasi digital serta meningkatkan produktiviti perkhidmatan awam Kerajaan Negeri Johor.

Projek yang dibangunkan sebagai sebahagian daripada Projek Sarjana Muda (PSM) itu berasaskan isu dan keperluan operasi sebenar agensi kerajaan, sekali gus memberi peluang kepada mahasiswa mengaplikasikan kepakaran teknologi untuk menghasilkan penyelesaian digital yang praktikal dan berimpak.

Inisiatif itu melibatkan empat kluster agensi utama, iaitu Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor (SUK), Pejabat Daerah dan Tanah Pontian, Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) serta Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Wilayah Selatan (IKWAS).

Antara sistem yang dibangunkan ialah J-ZAKAT, J-CLAIM, SmartHR Johor, AI Disaster Intelligence System (ADIS) dan “Oh, My Asset!”.

- Advertisement / Iklan -

Pembangunan projek dilaksanakan oleh FSKTM dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) sebagai sebahagian daripada usaha menyokong Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) serta memperkukuh penggunaan AI bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Bagi merealisasikan inisiatif itu, FSKTM dan MPC menganjurkan Bengkel Pembangunan Projek AI Produktiviti Negeri Johor 2026 pada 11 Mei 2026 di UTHM.

- Advertisement / Iklan -

No Image Caption

Bengkel itu dirasmikan oleh Pengarah MPC Wilayah Selatan, Mohd Azwan Mohd Salleh.

Pelaksanaan projek turut mendapat bimbingan 11 perunding teknikal FSKTM yang diketuai Profesor Madya Dr. Muhaini Othman dan Profesor Madya Dr. Nureize Arbaiy, selain bimbingan industri daripada Nur Arina Ramlee dari Cybersolution Technologies Sdn. Bhd.

Pasukan akademik yang terlibat merangkumi penyelia utama, iaitu Dr. Mohamad Firdaus Ab Aziz, Ts. Dr. Suziyanti Marjudi, Ts. Dr. Shuhaida Ismail dan Dr. Radiah Mohamad.

Penyelia bersama pula terdiri daripada Profesor Madya Dr. Noraini Ibrahim, Dr. Muhammad Nazim Razali, Dr. Shahdatunnaim Azmi, Dr. Norhamreeza Abdul Hamid dan Dr. Muhammad Shukri Che Lah.

Projek AI berkenaan kemudian dibawa ke Konvensyen Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) Negeri Johor 2026, yang menyaksikan pembentangan 39 inisiatif berteraskan AI.

Menurut Profesor Madya Dr. Muhaini Othman, keseluruhan inisiatif berkenaan dikenal pasti berpotensi menjana penjimatan kos operasi kerajaan sehingga RM81.9 juta setahun.

Beliau berkata, usaha itu bermula menerusi perbincangan strategik pada 13 Februari 2026 bersama Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan), Dato’ Haji Ismail Haji Abu, serta wakil Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

“Kerjasama strategik antara universiti, agensi kerajaan dan industri itu mencerminkan peranan UTHM dalam memperkasa pembangunan bakat digital serta menyumbang kepakaran akademik kepada keperluan sebenar sektor awam, selaras dengan aspirasi pendigitalan perkhidmatan kerajaan dan pembangunan ekosistem AI di Johor,” katanya.