Koir deVokalis UPSI gegar Korea, juara dua kategori!
KUMPULAN koir deVokalis Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengharumkan nama negara apabila muncul juara kategori Pop dan A Cappella pada Busan Choral Festival & Competition 2026 di Busan Cinema Centre, Korea Selatan, baru-baru ini.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, kejayaan itu turut menyaksikan deVokalis meraih Gold Diploma Award dalam kategori Pop dan A Cappella serta Ethnic & Traditional, sekali gus membuktikan kemampuan bakat seni suara universiti tempatan bersaing di peringkat antarabangsa.
Menurut beliau, pertandingan anjuran Korea Choral Institute itu berlangsung selama empat hari dan menghimpunkan kumpulan koir dari lima negara, iaitu Jepun, Korea Selatan, Indonesia, Malaysia dan Burundi.
“Pasukan deVokalis UPSI yang dianggotai 22 orang, terdiri daripada 19 pelajar dan tiga staf pengiring, turut berentap dengan tiga kumpulan lain di peringkat akhir bagi merebut gelaran juara.
“Kemenangan dalam kategori Pop & A Cappella melayakkan pasukan itu menerima trofi, sijil pencapaian serta wang tunai berjumlah lima juta won Korea Selatan (kira-kira RM17,000),” katanya dalam satu kenyataan.
Md Amin berkata, kejayaan itu mencerminkan komitmen universiti dalam membangunkan potensi pelajar secara holistik, khususnya menerusi penglibatan dalam bidang seni, budaya dan aktiviti kokurikulum yang mampu membentuk keyakinan diri serta kemahiran insaniah.
“Pengiktirafan di pentas antarabangsa ini membuktikan bahawa pelajar UPSI mempunyai bakat, disiplin dan keupayaan untuk bersaing dengan peserta dari negara lain.
“Kejayaan ini juga menjadi kebanggaan universiti dan negara, selain memperlihatkan kepentingan sokongan berterusan terhadap pembangunan bakat seni dalam kalangan mahasiswa,” katanya.
Kejayaan itu hadir selepas deVokalis menjalani persiapan selama kira-kira lapan bulan, bermula Mac hingga Oktober 2026, menerusi latihan intensif di bawah bimbingan Lilis Syafiza Mohd Yatim selaku konduktor dan jurulatih utama, manakala Muhamad Zulfeka Nasrun bertanggungjawab sebagai pengurus latihan.

Md Amin berkata, pasukan itu turut menerima bimbingan daripada Profesor Adjung Tersohor Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP) UPSI, Datuk Syafinaz Selamat, menerusi dua sesi latihan intensif sebelum berlepas ke Korea Selatan.
Mengulas perancangan penggunaan wang kemenangan, beliau berkata sebahagian dana akan diagihkan sebagai saguhati kepada pelajar atas usaha dan komitmen mereka, manakala sebahagian besar lagi disalurkan ke tabung pembangunan pasukan.
“Dana itu akan digunakan untuk membiayai program peningkatan kemahiran, termasuk bengkel latihan, selain menampung kos persediaan dan penyertaan dalam pertandingan serta persembahan pada masa hadapan,” katanya.
