PENCIPTA lagu dan penulis lirik tempatan yang mempunyai sekurang-kurangnya sebuah lagu dengan 1,000 tontonan di platform digital layak mendaftar sebagai ahli Music Authors’ Copyright Protection (MACP) Berhad secara percuma.

Pengurus Members, Communication & Public Affairs MACP Berhad, Nor Masayu Alias berkata, pendaftaran itu memberi peluang kepada pencipta muzik mendapatkan perlindungan hak cipta, selain memastikan royalti hasil penggunaan karya mereka dikutip dan diagihkan kepada pemiliknya.

Beliau berkata, pencipta muzik turut layak memohon menerusi kriteria lagu yang pernah dipersembahkan sekurang-kurangnya tiga kali dalam tempoh setahun, dengan mengemukakan bukti lengkap berkaitan karya berkenaan.

Katanya, kriteria itu bertujuan memastikan karya yang diwakili mempunyai nilai komersial untuk ditadbir, sekali gus melindungi hak cipta dan membolehkan pencipta muzik di Malaysia menerima pampasan sewajarnya.

- Advertisement / Iklan -

“Pihak kami ingin memastikan lagu-lagu ini mempunyai nilai komersial dan selayaknya diwakili melalui pentadbiran lagu, sekali gus menjaga hak cipta serta memberi pampasan kepada pencipta muzik di Malaysia,” katanya ketika ditemui pada Festival Apresiasi Seni 2026 (FEAS26) di Universiti Utara Malaysia (UUM), baru-baru ini.

Sementara itu, Penolong Pengurus Corporate Communication & Public Affairs MACP Berhad, Firdaus Rahman berkata, MACP ialah organisasi pengurusan kolektif (CMO) yang membantu melindungi karya muzik serta mengurus kutipan dan pengagihan royalti bagi pihak pencipta lagu dan penggiat muzik tempatan.

- Advertisement / Iklan -

Menurutnya, MACP turut menganjurkan program Inspirasi Seni Jelajah Kampus selama tiga hari dua malam di UUM bagi memberikan pendedahan awal kepada pelajar mengenai perlindungan karya muzik serta organisasi yang boleh dihubungi untuk mengurus hak cipta mereka.

Beliau berkata, usaha itu penting bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar dan penggiat muzik, khususnya mereka yang baharu menceburi bidang penciptaan lagu, mengenai kepentingan melindungi karya serta memahami proses pengurusan royalti.

Antara kelainan FEAS26 ialah penganjuran Bengkel Pensijilan Penulisan Lagu menerusi kerjasama dengan MACP yang menampilkan dua artis daripada Faithful Music Publishing, Fahimi Rahmat dan Aziz Harun.

Bengkel itu memberikan pendedahan praktikal kepada mahasiswa untuk menghasilkan karya muzik, termasuk mencipta bahagian korus lagu, meskipun sebahagian peserta pada awalnya mempunyai pengetahuan terhad dalam bidang berkenaan.

Selain kemahiran menghasilkan lagu, bengkel itu turut memberi peluang kepada mahasiswa memahami kepentingan hubungan dengan industri serta pengurusan harta intelek, khususnya berkaitan hak cipta muzik dan pembayaran royalti.

Pendedahan itu penting memandangkan MACP berperanan sebagai organisasi pengurusan kolektif yang menguruskan kutipan royalti berkaitan hak cipta muzik, sekali gus membantu mahasiswa memahami aspek pengurusan karya sebelum melangkah ke industri muzik.

Bengkel pensijilan berkenaan merupakan antara pendekatan baharu yang diketengahkan pada FEAS26 bagi memperkukuh hubungan antara pembelajaran akademik dengan keperluan industri.

Secara keseluruhannya, penganjuran FEAS26 bertujuan memastikan mahasiswa Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA), UUM, mendapat manfaat daripada platform yang disediakan, khususnya menerusi pendedahan kepada industri dan komuniti.

Pelajar dan pencipta muzik yang berminat mendapatkan maklumat lanjut mengenai keahlian MACP boleh melayari laman web rasmi www.macp.com.my atau mengikuti media sosial MACP Berhad.