Seni dan tradisi jadi medan mahasiswa asah kemahiran industri kreatif di FEAS26
FESTIVAL Apresiasi Seni 2026 (FEAS26) bukan sekadar platform mengetengahkan bakat dan kreativiti mahasiswa, malah menjadi medan pembelajaran praktikal untuk melengkapkan mereka dengan kemahiran pengurusan, komunikasi serta pengalaman berinteraksi dengan industri sebelum melangkah ke alam pekerjaan.
Seramai 125 mahasiswa terbabit sebagai ahli jawatankuasa (AJK) bagi menjayakan festival itu, sekali gus berpeluang mempelajari pengurusan acara, penyelesaian konflik dan komunikasi, selain mengendalikan urusan bersama pihak luar termasuk penaja serta rakan industri.
Pengarah Bersama FEAS26, Dr. Syamsul Hirdi Muhid berkata, pengalaman berkenaan memberi nilai tambah kepada pembelajaran dalam kuliah apabila mahasiswa dapat mengaplikasikan pengetahuan dalam situasi sebenar yang memerlukan mereka membuat keputusan, menyelaras tugasan dan mengurus pelbagai pihak.
“Di sinilah pembelajaran berlaku, bagaimana kita hendak menguruskan sesuatu program, menangani konflik dan berkomunikasi. Perkara seperti ini tidak dapat dihuraikan sepenuhnya dalam kuliah, tetapi perlu dipelajari secara langsung di lapangan,” katanya.
Beliau berkata, penglibatan mahasiswa dalam penganjuran festival itu terbukti menjadi mekanisme berkesan untuk membangunkan potensi dan kematangan mereka, malah terdapat perbezaan antara mahasiswa yang menyertai festival dengan mereka yang tidak terbabit.
Dr. Syamsul Hirdi, yang juga Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar berkata, matlamat utama penganjuran FEAS26 adalah untuk memastikan mahasiswa Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA), Universiti Utara Malaysia (UUM), mendapat manfaat daripada platform yang disediakan, khususnya melalui pendedahan kepada industri dan komuniti.
“Kita mahu pelajar kita bersedia memasuki industri. Mereka perlu tahu cara menguruskan program, memperoleh pengalaman bersama industri, menimba ilmu daripada pengamal industri dan pada masa sama bekerjasama dengan komuniti,” katanya.
Bengkel penulisan lagu dedah mahasiswa kepada hak cipta muzik
Antara kelainan FEAS26 ialah penganjuran Bengkel Pensijilan Penulisan Lagu menerusi kerjasama dengan Music Authors' Copyright Protection (MACP), yang menampilkan dua artis daripada Faithful Music Publishing, Fahimi Rahmat dan Aziz Harun.
Dr. Syamsul Hirdi berkata, bengkel itu memberikan pendedahan praktikal kepada mahasiswa untuk menghasilkan karya muzik, termasuk mencipta bahagian korus lagu, meskipun sebahagian peserta pada awalnya mempunyai pengetahuan yang terhad dalam bidang berkenaan.
Menurutnya, bengkel itu turut memberi peluang kepada mahasiswa memahami kepentingan hubungan dengan industri serta pengurusan harta intelek, khususnya berkaitan hak cipta muzik dan pembayaran royalti.
Katanya, MACP berperanan sebagai organisasi pengurusan kolektif (CMO) yang menguruskan kutipan royalti berkaitan hak cipta muzik, justeru pengetahuan berkenaan penting kepada mahasiswa yang bakal menceburi industri muzik.
Beliau berkata, bengkel pensijilan itu merupakan antara pendekatan baharu yang diketengahkan pada edisi kali ini bagi memperkukuh hubungan antara pembelajaran akademik dengan keperluan industri.
Lima bidang kreatif diketengahkan
FEAS26 menghimpunkan lima bidang utama SCIMPA, iaitu Muzik, Perniagaan Muzik dan Pembangunan Artis, Produksi Skrin atau Filem, Realiti Lanjutan (XR) dan Animasi Kreatif, serta Inovasi Reka Bentuk.
Menurut Dr. Syamsul Hirdi, festival itu memberi peluang kepada mahasiswa mempamerkan hasil seni, kreativiti dan projek masing-masing menerusi persembahan, pameran serta pelbagai aktiviti yang turut melibatkan pengunjung.
Beliau berkata, edisi kali ini berlangsung pada skala lebih besar berbanding edisi terdahulu, dengan penglibatan lebih meluas daripada pihak industri dan rakan strategik.

Katanya, perkembangan itu diharap menjadi penanda aras kepada penganjuran FEAS pada masa hadapan, selain mendorong mahasiswa SCIMPA menghasilkan inovasi secara berterusan.
Sementara itu, Pengarah Projek FEAS26, Muhammad Arif Fikri Fauzi, berkata penganjuran kali ini turut membawa festival berkenaan ke lokasi lebih strategik, iaitu Pusat Budaya dan Seni (PBS) UUM, bagi memudahkan mahasiswa serta pengunjung menyertai aktiviti yang disediakan.
Beliau berkata, penganjuran terdahulu lebih tertumpu di kawasan fakulti, sekali gus mengehadkan peluang penyertaan mahasiswa dari lokasi lain.
Menurutnya, festival kali ini memberi penekanan kepada tradisi Malaysia sempena ulang tahun ke-10 penubuhan SCIMPA, walaupun FEAS sendiri baru memasuki edisi ketiga penganjurannya.
Suara Nusantara, cosplay tradisional jadi tarikan
Antara aktiviti utama FEAS26 ialah pertandingan Suara Nusantara, iaitu pertandingan nyanyian lagu tradisional yang menghimpunkan 10 finalis daripada pelbagai pusat pengajian di UUM.
Festival itu turut menampilkan pertandingan cosplay bertemakan budaya dan tradisi, yang memberi peluang kepada peserta memperagakan pakaian tradisional daripada pelbagai budaya, termasuk Melayu, Korea dan Jepun.
Selain itu, aktiviti Lenggok Cilik menampilkan kanak-kanak memperagakan pakaian beragam di atas pentas menerusi peragaan dan persembahan ringkas.
Pengunjung juga berpeluang menyaksikan pameran karya animasi dan projek tahun akhir, selain menyertai aktiviti pengenalan asas animasi serta permainan tradisional seperti congkak dan dadu.
Satu lagi tarikan ialah sesi Hot Seat yang menampilkan panel berpengalaman dalam bidang masing-masing, dengan pendekatan perbincangan santai bersama mahasiswa dan festival itu turut disertai 45 vendor.
Arif berkata, FEAS merupakan sebahagian daripada identiti SCIMPA yang menggabungkan elemen pengurusan, industri kreatif dan seni persembahan, sekali gus memberi peluang kepada mahasiswa memperkenalkan bidang pengajian mereka kepada masyarakat.
Beliau berkata, persiapan festival bermula kira-kira tiga hingga empat bulan lebih awal, termasuk usaha mendapatkan penaja dan menjalin kerjasama dengan rakan strategik.
Menurutnya, penglibatan mahasiswa daripada semua peringkat pengajian penting kerana pengalaman menguruskan acara dan bekerjasama dengan pihak industri dapat menjadi asas persediaan mereka memasuki alam pekerjaan.
FEAS26 berlangsung selama tiga hari, bermula 22 hingga 24 Oktober, dengan pelbagai aktiviti seni, pameran dan persembahan yang terbuka kepada pengunjung.
Penganjuran itu diharap bukan sahaja memperkukuh penghayatan terhadap seni dan tradisi tempatan, malah menyediakan platform berterusan untuk mahasiswa membangunkan bakat, memperluas jaringan industri dan meningkatkan kebolehpasaran graduan SCIMPA.
