FESTIVAL Apresiasi Seni 2026 (FEAS26) bukan sekadar platform meraikan seni dan kreativiti, malah menjadi medan melahirkan mahasiswa sebagai pemimpin, pengurus dan usahawan yang mampu menerajui industri kreatif, kata Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Moh Azizuddin Mohd Sani.

Beliau berkata, penglibatan langsung mahasiswa dalam merancang, mengurus dan melaksanakan festival berskala besar itu memberi pengalaman praktikal yang penting dalam membangunkan kemahiran kepimpinan serta keusahawanan, selaras dengan keperluan industri kreatif masa kini.

“Matlamat utama kita mahu melahirkan pemimpin, pengurus dan usahawan industri kreatif (Creative Industry Leaders & Entrepreneurs).

“Industri kreatif memerlukan modal insan yang tahu mengurus bakat, mengawal selia perniagaan media, mengurus hak cipta serta memanfaatkan peluang yang ada,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian FEAS26 dan Sambutan Sedekad Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA), UUM, pada Khamis. 

- Advertisement / Iklan -

Menurutnya, penglibatan mahasiswa dalam pelbagai komponen festival, termasuk FEAS Creative Market, pertandingan kebudayaan, kesenian, kreatif dan digital serta pengurusan teknikal, menjadi ruang untuk mereka mengasah kebolehan mengurus projek dan memahami realiti perniagaan industri kreatif.

“Pengalaman hands-on ini bakal menjadikan anda peneraju yang berkeyakinan tinggi, mampan dan bersedia memasuki pasaran kerja tempatan mahupun antarabangsa,” katanya.

- Advertisement / Iklan -

Beliau berkata, kecemerlangan akademik di universiti tidak seharusnya dinilai berdasarkan pencapaian gred dalam bilik kuliah semata-mata, sebaliknya turut merangkumi keupayaan mahasiswa mengaplikasikan teori pengurusan, prinsip analisis dan pemikiran strategik dalam situasi sebenar.

Katanya, portfolio Akademik dan Antarabangsa UUM sentiasa komited memastikan kualiti penawaran akademik kekal relevan, berdaya saing serta memenuhi piawaian tertinggi di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Usaha itu, katanya, bertujuan melahirkan modal insan bernilai tinggi yang bukan sahaja mempunyai pemikiran kritis dan keupayaan intelektual yang mantap, malah mampu menyelesaikan masalah secara kreatif serta menyesuaikan diri dengan perubahan ekosistem industri.

Menerusi penganjuran FEAS26, beliau berkata, kurikulum SCIMPA dapat diterjemahkan secara praktikal melalui pengurusan projek, penyelesaian masalah dan integrasi pelbagai disiplin ilmu.

Sementara itu, Dekan SCIMPA, Prof. Madya Gs. Dr. Ruzinoor Che Mat berkata, pusat pengajian itu bukan sekadar institusi akademik, tetapi sebuah keluarga yang menghimpunkan pelbagai bakat, kepakaran dan kreativiti untuk berkembang bersama.

“Bagi saya, SCIMPA bukan sekadar sebuah pusat pengajian, tetapi sebuah keluarga yang menghimpunkan pelbagai bakat, kepakaran dan kreativiti untuk terus maju bersama,” katanya.

Beliau berkata, FEAS26 berperanan sebagai platform yang menghubungkan pendidikan, industri dan komuniti melalui pelbagai aktiviti, termasuk pameran seni, bengkel kreatif, animasi, apresiasi filem, persembahan dan FEAS Creative Market.

Menurutnya, program sedemikian memberi peluang kepada mahasiswa mengetengahkan bakat serta memperoleh pengalaman sebenar dalam mengurus dan melaksanakan program kreatif.

“Kita mahu mahasiswa SCIMPA bukan sekadar menjadi tenaga kerja dalam industri kreatif, tetapi turut mampu menjadi pemimpin, pengurus dan usahawan yang mencipta peluang dalam industri itu sendiri,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa perkembangan pesat teknologi digital, kecerdasan buatan (AI), animasi dan kandungan kreatif baharu menuntut SCIMPA bergerak seiring dengan perubahan serta keperluan industri.

Sehubungan itu, aspirasi SCIMPA adalah untuk terus berkembang sebagai hab pendidikan, bakat dan inovasi industri kreatif yang mempunyai hubungan kukuh dengan pemain industri di peringkat nasional dan antarabangsa.

Kerjasama berkenaan, katanya, perlu diperluas melangkaui penganjuran program dengan merangkumi pembangunan bakat, pementoran profesional, penyelidikan dan pelaksanaan projek kreatif bersama.

Dalam pada itu, beliau menekankan kepentingan mengekalkan kreativiti dan identiti budaya ketika meneroka teknologi baharu, termasuk AI.

“Teknologi boleh membantu menghasilkan karya, tetapi kreativiti dan nilai kemanusiaanlah yang memberikan makna kepada karya tersebut,” katanya.

Pengarah Projek FEAS26, Muhammad Arif Fikri Fauzi pula berkata, penganjuran festival itu memerlukan perancangan teliti, komitmen tinggi dan kerjasama pelbagai pihak bagi memastikan setiap pengisian dapat dilaksanakan dengan baik.

Menurutnya, festival itu bukan sahaja bertujuan meraikan seni dan kreativiti, malah menjadi platform menghargai bakat, usaha serta hasil karya, di samping memperkukuh hubungan antara mahasiswa, pihak universiti dan industri kreatif.

Beliau merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan universiti, khususnya barisan kepimpinan SCIMPA, atas sokongan, bimbingan, nasihat dan kepercayaan yang diberikan sejak peringkat awal perancangan program.

Arif turut menghargai komitmen seluruh ahli jawatankuasa pelaksana yang menyumbangkan masa, tenaga, idea dan usaha dalam menjayakan festival berkenaan, termasuk mereka yang bertugas di hadapan dan di sebalik tabir.

“Pada saya, kejayaan sesebuah program tidak hanya bergantung pada individu yang memimpin, tetapi turut ditentukan oleh kesungguhan setiap ahli pasukan yang bekerja bersama-sama untuk mencapai matlamat yang sama,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua penaja dan rakan strategik yang memberikan sokongan dalam pelbagai bentuk, termasuk kewangan, barangan, perkhidmatan serta sumbangan lain yang membantu merealisasikan penganjuran festival.

Menurutnya, pengalaman mengendalikan FEAS26 turut memberikan pengajaran penting mengenai kepimpinan, khususnya dalam aspek komunikasi, penyelesaian masalah dan kerjasama berpasukan.

“Pengalaman ini mengajar saya bahawa kepimpinan bukan sekadar tentang memberikan arahan, tetapi juga tentang kesediaan untuk mendengar, memahami, menyelesaikan masalah dan bergerak bersama-sama sebagai sebuah pasukan,” katanya.

Arif berharap pengalaman menganjurkan FEAS26 dapat dijadikan panduan untuk menambah baik program pada masa hadapan, selain menjadi pemangkin kepada perkembangan bakat, penghasilan karya berkualiti dan pengukuhan hubungan antara universiti, mahasiswa serta industri kreatif.

FEAS26 berlangsung dari 22 hingga 24 Oktober 2026 di Dataran Budaya, Pusat Budaya dan Seni (PBS), UUM, Sintok, bersempena sambutan ulang tahun ke-10 penubuhan SCIMPA.

Festival itu menghimpunkan pelbagai pengisian seni, budaya, teknologi kreatif, pameran, persembahan dan aktiviti keusahawanan bagi membuka ruang kepada mahasiswa serta komuniti untuk meneroka potensi industri kreatif.