Sumbangan pakaian preloved ringankan beban mahasiswa asnaf UIS
KEPRIHATINAN pihak industri terhadap kebajikan mahasiswa terus dizahirkan menerusi sumbangan pakaian preloved daripada DataPrep Holding Sdn Bhd kepada mahasiswa asnaf Universiti Islam Selangor (UIS), khususnya mahasiswa di bawah Fakulti Ekonomi, Perakaunan dan Pengurusan (FEPP).
Menurut kenyataan Universiti Islam Selangor (UIS), sesi penyerahan itu menyaksikan sebanyak enam kotak besar pakaian preloved diserahkan oleh pihak DataPrep Holding Sdn Bhd untuk dimanfaatkan mahasiswa yang memerlukan.
Sumbangan tersebut disampaikan sendiri oleh Head, Research & Development DataPrep Holding Sdn Bhd, Muhammad Amirul Ashraf Abdullah, yang turut hadir bersama beberapa pegawai daripada bahagian kejuruteraan syarikat.
Sumbangan diterima oleh wakil Persatuan Mahasiswa Fakulti Ekonomi, Perakaunan dan Pengurusan (PMFEPP) yang diketuai Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) FEPP, Mohamed Rizki Moi.
Turut hadir Ketua Sekretariat Kebajikan Mahasiswa FEPP, Dr. Norziah Othman; Presiden PMFEPP, Muhammad Kamil Mohd Roslan; Exco Kebajikan PMFEPP, Muhammad Faiq Fauzan Sabri serta beberapa pelajar lain.
Menurut kenyataan itu, program berkenaan merupakan suatu bentuk tanggungjawab sosial korporat yang bukan sahaja menyumbang keperluan fizikal kepada mahasiswa, malah mencerminkan keprihatinan pihak industri terhadap cabaran yang dihadapi golongan mahasiswa yang memerlukan.
Pihak pengurusan kebajikan mahasiswa FEPP memaklumkan sumbangan pakaian itu amat bermakna kerana terdapat mahasiswa yang menghadapi kesukaran mendapatkan pakaian bersesuaian untuk ke kuliah, khususnya pakaian rasmi.
Keadaan itu lebih ketara dalam kalangan mahasiswa lelaki yang berbadan besar dan sukar mendapatkan pakaian formal dalam saiz yang bersesuaian.
Keperluan tersebut menjadi semakin penting memandangkan para mahasiswa bakal menghadapi peperiksaan dalam masa terdekat.
Pemakaian pakaian formal merupakan salah satu keperluan ketika menduduki peperiksaan, manakala mahasiswa yang tidak mematuhi etika pemakaian boleh berdepan kesukaran untuk memasuki dewan peperiksaan.
Justeru, sumbangan preloved daripada DataPrep Holding dilihat hadir pada waktu yang amat bermakna.
Pakaian yang masih berada dalam keadaan baik bukan sahaja dapat digunakan semula, malah memberi peluang kepada mahasiswa yang memerlukan mendapatkan pakaian sesuai tanpa menambah beban kewangan mereka.
Menurut kenyataan UIS, sumbangan tersebut bukan sekadar pakaian, sebaliknya membawa mesej bahawa mahasiswa yang memerlukan tidak keseorangan dalam menghadapi cabaran kehidupan dan pengajian.
Sokongan daripada pihak korporat seperti DataPrep Holding diharap dapat meringankan beban mahasiswa, khususnya dalam memenuhi keperluan asas sepanjang tempoh pengajian.
Pihak FEPP turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada DataPrep Holding atas keprihatinan serta kesudian berkongsi rezeki dengan mahasiswa UIS.
Diharapkan sumbangan itu menjadi permulaan kepada jalinan kerjasama yang lebih luas antara pihak industri dan universiti dalam menyokong kesejahteraan serta pembangunan mahasiswa.
