UniSZA naik 40 tangga dalam UI GreenMetric 2026
UNIVERSITI Sultan Zainal Abidin (UniSZA) memperkukuh kedudukan dalam bidang kelestarian global apabila melonjak ke kedudukan 109 dalam UI GreenMetric World University Rankings 2026, daripada tempat ke-149 pada tahun lepas.
Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Fadzli Adam berkata, pencapaian itu mencerminkan komitmen berterusan universiti ke arah menjadikan agenda kelestarian sebagai sebahagian daripada hala tuju strategik, tadbir urus dan budaya institusi.
Beliau berkata, selain itu di peringkat Asia, UniSZA turut mencatat peningkatan 23 anak tangga iaitu daripada kedudukan ke-80 pada 2025 ke tempat ke-57 tahun ini, selain mengekalkan kedudukan kesembilan dalam kalangan universiti di Malaysia bagi sistem penarafan yang sama.
"IU GreenMetric World University Rankings ialah penarafan kelestarian universiti antarabangsa yang diperkenalkan oleh Universitas Indonesia (UI) pada 2020 bagi mengukur komitmen dan prestasi institusi pengajian tinggi dalam melaksanakan amalan kelestarian serta menangani cabaran alam sekitar.
"Bagi UniSZA, kelestarian bukan sekadar soal kedudukan dalam penarafan. Apa yang lebih penting ialah bagaimana prinsip kelestarian diterjemahkan dalam pembangunan universiti, pengurusan kampus, pendidikan, penyelidikan, inovasi serta hubungan kita dengan masyarakat," katanya dalam kenyataan. - Bernama
