TVET Malaysia mahu ‘upgrade’, sasarkan separuh bidang WorldSkills
MALAYSIA menyasarkan untuk meningkatkan penyertaan dalam WorldSkills Competition (WSC) kepada sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan bidang yang dipertandingkan pada masa akan datang, kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan.
Beliau yang juga Chef De Mission Malaysia ke WSC berkata, cadangan itu akan dibawa dalam mesyuarat Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk dipertimbangkan.
Ahmad berkata, langkah memperluas penyertaan daripada satu pertiga ketika ini amat penting bagi memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam menguasai pelbagai kepakaran teknologi baharu yang diguna pakai di peringkat global.
"Pada saya, untuk ke hadapan adalah penting bagi Malaysia menghantar lebih banyak penyertaan. Terdapat 64 bidang, sedangkan kita menghantar 21, hanya satu pertiga (daripada bidang).
"Oleh itu, saya berharap semua agensi TVET yang ada dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Kerja Raya (KKR) dan semua kementerian terlibat, kita perlu duduk, fikir dan merancang supaya satu pertiga, 21 bidang ini kita tingkatkan dalam petunjuk prestasi utama (KPI) tahun tertentu menjadikan separuh,” katanya.
Ahmad berkata demikian selepas melawat ruang pameran dan memberi sokongan kepada wakil Malaysia di WSC Shanghai 2026 di National Exhibition and Convention Centre (NECC) pada Khamis.
Hadir sama Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan.
Berhubung faktor pemilihan 21 bidang pada edisi kali ini, beliau berkata penilaian terdahulu dibuat mengikut tahap kebarangkalian kejayaan peserta, namun tidak menolak penyertaan berani dalam bidang baharu mampu meningkatkan kualiti kemahiran belia tempatan secara berperingkat.
Sebagai langkah awal melatih kemahiran baharu, beliau berkata sebuah syarikat teknologi di Shanghai, Beice Technologies Ltd bersetuju menaja sepenuhnya program latihan intensif bagi 10 hingga 15 penuntut GIATMARA dalam bidang Digital Interactive Media Design dan 3D Digital Game Art bagi tempoh dua hingga tiga bulan.
WSC Shanghai 2026 menyaksikan kontinjen Malaysia diwakili 22 peserta yang bertanding dalam 21 bidang kemahiran merangkumi pelbagai sektor teknikal di bawah seliaan JPK dan KKR.
Kejohanan itu yang berlangsung dari 22 hingga 27 Sept, menghimpunkan 1,400 profesional muda berkemahiran terbaik dari lebih 65 negara dan wilayah mewakili 64 bidang kemahiran. - Bernama