TVET makin jadi pilihan, UTeM terima 4,180 pelajar baharu sesi 2026/2027
UNIVERSITI Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus mencatatkan lonjakan kemasukan pelajar baharu apabila seramai 4,180 orang mendaftar untuk mengikuti program ijazah sarjana muda bagi sesi 2026/2027.
Proses Hari Pendaftaran Perdana pelajar baharu UTeM berlangsung selama dua hari pada 21 dan 22 September di dua lokasi, iaitu Dewan Canselor dan Kompleks Sukan, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, angka kemasukan itu meneruskan lonjakan luar biasa yang dicatatkan UTeM bagi tempoh lima tahun berturut-turut.
Jelasnya, UTeM menerima seramai 2,043 pelajar baharu pada 2022, diikuti 2,530 orang pada 2023, 2,896 orang pada 2024 dan 3,877 orang pada 2025 berdasarkan angka ketika Hari Pendaftaran Perdana.
Menurut Massila, beberapa faktor menyumbang kepada peningkatan angka pelajar baharu, sekali gus menjadikan UTeM sebagai pilihan dalam kalangan lepasan asasi, matrikulasi, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan diploma untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjana muda.
“Antaranya graduan UTeM menjadi buruan utama industri, dengan kadar bekerja mencecah 99.2 peratus, selain peningkatan gaji dan permintaan majikan terhadap bakat berkemahiran teknikal yang dilahirkan universiti TVET berprestij ini.
“Pengiktirafan kemenangan UTeM bagi Graduate Employability Excellence Award pada Malaysia Education & TVET Awards (META) 2026 mengukuhkan reputasi UTeM sebagai universiti awam berteraskan TVET termaju yang berjaya memenuhi kehendak pasaran pekerjaan.
“Kepercayaan industri terhadap graduan UTeM turut terserlah menerusi Graduate Employability Index 2026 oleh Talentbank yang melibatkan penilaian 1,200 majikan industri,” katanya.

Dalam penilaian itu, bidang Automotif UTeM menduduki tempat pertama dalam kalangan universiti awam Malaysia, manakala tiga lagi bidang UTeM iaitu Keusahawanan, Kejuruteraan Mekanikal dan Kejuruteraan Mekatronik menerima penarafan tertinggi 6-Star Employer Choice.
UTeM turut diiktiraf sebagai Universiti TVET Terkemuka di Malaysia untuk Kebolehkerjaan Siswazah, manakala bagi bidang Komputeran dan Teknologi Maklumat, UTeM menjadi pilihan utama majikan bagi pengambilan graduan secara berskala besar.
Keseluruhan pencapaian itu mengangkat UTeM ke dalam kelompok lima universiti awam terbaik negara menerusi Graduate Employability Index 2026.
“Menyentuh aspek penjagaan kebajikan pelajar, UTeM sentiasa cakna kepada golongan B40 dengan pelbagai skim bantuan yang telah diberikan sebelum ini tentunya menjadi fokus utama UTeM,” ujarnya ketika meninjau proses pendaftaran pelajar baharu di sini.
Mengulas taburan pelajar baharu mengikut fakulti, Massila berkata Fakulti Kecerdasan Buatan dan Keselamatan Siber (FAIX) menerima seramai 352 pelajar, terdiri daripada 168 orang bagi Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kepintaran Buatan) dengan Kepujian dan 184 orang bagi Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Keselamatan Komputer) dengan Kepujian.
“Seramai 681 orang pelajar mendaftar untuk mengikuti pengajian dalam bidang kejuruteraan, teknologi kejuruteraan dan teknologi di Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Elektrik (FTKE) dan 653 orang di Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Elektronik dan Komputer (FTKEK).
“Sementara itu, seramai 750 orang pelajar lagi mengikuti pengajian dalam bidang kejuruteraan, teknologi kejuruteraan dan teknologi di Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Mekanikal (FTKM) dan 426 orang di Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Industri dan Pembuatan (FTKIP).
“Bagi pelajar yang mendaftar mengikuti pengajian dalam bidang Sains Komputer dan Teknologi Maklumat di Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK) pula seramai 741 orang.
“Selebihnya mendaftar bidang Pengurusan Teknologi dan Teknousahawanan di Fakulti Pengurusan Teknologi dan Teknousahawanan (FPTT) pula seramai 577 orang.
“Kesemua pelajar ini mengikuti Minggu Haluan Siswa (MHS) bermula 22 hingga 26 September,” katanya.
Terdahulu, seramai 1,178 pelajar diploma telah berdaftar untuk menyambung pengajian di UTeM pada Julai lalu.
Sementara itu, kumpulan pelajar baharu menerusi proses rayuan pula dianggarkan seramai 250 orang dan dijangka mendaftar di UTeM pada 5 Oktober nanti.
