Dari keluarga B40 ke UKM, tiga pelajar cemerlang terima Biasiswa Naib Canselor
TIGA pelajar perempuan daripada keluarga B40 yang cemerlang dalam akademik menerima Biasiswa Naib Canselor merangkumi tajaan yuran pengajian, bantuan sara hidup RM800 sebulan serta elaun penginapan RM720 setahun sepanjang tempoh pengajian.
Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Sufian Jusoh, mengumumkan perkara itu selepas Bacaan Ikrar dan Sidang Media Pendaftaran Pelajar Baharu UKM sesi 2026/2027, pada Selasa.
Biasiswa berjumlah RM234,980 itu diberikan kepada tiga pelajar perempuan berkenaan bagi membantu mereka melanjutkan pengajian di UKM.

Salah seorang penerima, Saw Xin En, 20, dari Sungai Petani, Kedah, merupakan pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan yang kini melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di UKM.
Saw memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 meskipun berdepan masalah penglihatan sejak lahir.
Menurutnya, mata kanannya tidak dapat melihat, manakala penglihatan mata kirinya hanya sekitar 50 hingga 60 peratus berbanding individu biasa akibat masalah pada saraf di belakang mata.
“Bagaimanapun, cabaran itu tidak mematahkan semangat saya untuk terus mencuba dan mencapai impian,” katanya.
Saw berkata, masalah penglihatan menjadi antara cabaran utama dalam pembelajarannya kerana beliau memerlukan lebih banyak masa untuk membaca dan memahami bahan pembelajaran berbanding individu biasa.
“Disebabkan masalah penglihatan, saya juga memerlukan lebih masa untuk membaca. Jika orang lain boleh melihat keseluruhan teks dan terus mengenal pasti kata kunci, saya perlu membaca perkataan satu demi satu.
“Ketika STPM, subjek Akaun merupakan cabaran besar bagi saya. Tempoh yang diberikan agak singkat dan saya hanya mendapat tambahan masa 30 minit.
“Subjek itu memerlukan banyak pengiraan, selain perlu membaca nombor dengan cepat, menggunakan kalkulator dan menulis jawapan,” katanya.
Saw merupakan anak sulung daripada tiga beradik. Ibunya seorang suri rumah, manakala bapanya bekerja sebagai tukang besi di sebuah kilang.
Beliau memilih UKM kerana reputasinya dalam bidang undang-undang, selain pendekatan pengajaran yang menggunakan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.
“Bagi saya, ini peluang untuk mempelajari undang-undang dalam kedua-dua bahasa,” katanya.
Saw turut berpesan kepada pelajar OKU supaya sentiasa percaya kepada diri sendiri walaupun mempunyai kekurangan dan terus berusaha mencapai kejayaan.

Sementara itu, Wan Nur Mahirah Wan Harun, 20, menjadi anak pertama dalam keluarganya melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah.
Anak kelima daripada enam beradik dari Kampung Bukit Payung, Jerteh, Terengganu itu mengikuti program Sarjana Muda Ekonomi dengan Kepujian di UKM.
“Saya berharap dapat menimba ilmu ke peringkat yang lebih tinggi dan meneruskan legasi keluarga.
“Saya juga ingin menjadi anak yang membanggakan ibu bapa serta membalas jasa mereka pada masa akan datang,” katanya.
Anak kepada pesara pemandu dan suri rumah itu memilih UKM kerana kedudukannya sebagai antara universiti terbaik di Malaysia.
“Memandangkan persaingan untuk mendapatkan tempat di universiti ini agak tinggi, saya berasa segala usaha dan pengorbanan sepanjang pengajian akhirnya membuahkan hasil,” katanya.

Seorang lagi penerima, Nur Natasha Amirah Mohd Helmi, 19, dari Kota, Negeri Sembilan, mengikuti pengajian Sarjana Muda Sains Sosial (Kriminologi) dengan Kepujian di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK).
Natasha mendapat pendidikan menengah di Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor (SEMASHUR) dan memperoleh keputusan 4A, 3B dan 2C dalam peperiksaan SPM sebelum melanjutkan pengajian ke Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan (KMNS) dan memperoleh PNGK 3.33.
Beliau memilih UKM selepas melihat pengalaman ahli keluarganya sendiri apabila abangnya merupakan bekas pelajar UKM, manakala adiknya kini mengikuti program asasi di universiti itu.
“Saya pun rasa nak sangat join sebab aktiviti banyak. Pensyarah semua baik, cara mereka menjaga pelajar pun baik.
“UKM juga mempunyai reputasi universiti yang cukup tinggi di dunia dan saya rasa UKM merupakan tempat yang ramai nak mohon,” katanya.
Mengenai penerimaan biasiswa itu, Natasha berkata beliau pada mulanya tidak menyangka terpilih kerana tidak mengetahui mengenai perkara berkenaan sebelum dipanggil dan dimaklumkan sebagai penerima.
“Saya tak sangka saya dapat biasiswa. Tiba-tiba kena panggil dan kata saya penerima biasiswa ini. Jadi saya teruja, gembira dan rasa bersyukur,” katanya.
Natasha berkata biasiswa berkenaan turut membantu meringankan beban ibunya yang selama ini menjadi penyumbang utama keluarga.
Beliau melalui keadaan keluarga yang mencabar selepas bapanya terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 2012 sehingga kehilangan keupayaan untuk bekerja.
Ibunya kemudian mengambil alih tanggungjawab sebagai penyumbang utama keluarga dengan bekerja sebagai pekerja pembersihan dan pembantu dewan makan.
Bapanya kemudiannya mengalami strok pada 2019 dan meninggal dunia pada 18 Mac 2020. Sepuluh hari selepas itu, ibu saudaranya turut meninggal dunia dan ibunya mengambil tanggungjawab menjaga dua orang anak saudaranya.
Kini, ibunya bertanggungjawab menyara dan mengurus keperluan 11 orang tanggungan, iaitu sembilan orang anak serta dua orang anak saudara.
Natasha berkata, biasiswa berkenaan membolehkannya mengurangkan beban ibunya dan pada masa sama membantu adik-adiknya.
“Saya juga ada tiga adik OKU autisme. Saya harap selepas habis belajar, sedikit sebanyak dengan biasiswa ini juga saya boleh bantu mak saya mencapai dan menyampaikan impian adik-adik saya,” katanya.

UKM menerima seramai 4,379 pelajar baharu bagi sesi akademik 2026/2027 yang mula mendaftar pada 19 September lalu.
Daripada jumlah itu, 2,889 atau 66 peratus merupakan pelajar perempuan, manakala 1,490 atau 34 peratus pelajar lelaki.
Pelajar baharu berkenaan dipilih daripada 86,504 permohonan yang diterima UKM pada tahun ini, dengan 10,637 pemohon memilih UKM sebagai pilihan pertama.
