Walau jauh di Asia Barat, pelajar kita dilaporkan selamat
SEMUA pelajar Malaysia yang berada di kawasan konflik di Asia Barat kini dilaporkan selamat, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abd Kadir.
Menurut beliau, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bekerjasama rapat dengan Kementerian Luar bagi memastikan keselamatan pelajar dan rakyat Malaysia di rantau tersebut berada di tahap terbaik.
“Kita bekerjasama dengan Kementerian Luar bagi melihat perkembangan dan kedudukan pelajar-pelajar kita dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya,” katanya selepas menghadiri Program Perhimpunan Bulanan dan Majlis Ukhuwah Ramadan KPT Tahun 2026.
Beliau menambah, KPT akan memantau krisis di Asia Barat sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan kepulangan pelajar bagi menyambut Aidilfitri. Semalam, beliau berkata sebarang tindakan lanjut akan dirujuk terlebih dahulu kepada Kementerian Luar.
Zambry juga menegaskan, urusan krisis luar negara akan diterajui oleh Kementerian Luar sebagai pihak utama dalam hal diplomatik dan keselamatan antarabangsa.
Selain isu pelajar, beliau turut mengulas tatakelola dan pengurusan kewangan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Menurut Zambry, KPT menyerahkan sepenuhnya kepada pihak pengurusan universiti untuk mengambil langkah penambahbaikan serta memberi kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atau Polis Diraja Malaysia yang menjalankan siasatan.
Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki mengesahkan dua kertas siasatan dibuka berkaitan isu tatakelola UKM yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026.
Laporan tersebut mendedahkan ketidakaturan serius dalam kutipan yuran pelajar serta perbelanjaan universiti yang tidak mematuhi undang-undang dan peraturan kewangan.

