HIMPUNAN Mesra Alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM) bersama-sama Perdana Menteri pada 26 September ini bukan sekadar mengimbau nostalgia penjenamaan Institut Teknologi MARA (ITM) kepada UiTM, 27 tahun lepas malah membuka ruang kepada alumni untuk kembali menyumbang kepada universiti berkenaan.

Pengarah bersama acara berkenaan, Abang Mohd Hafizie Abang Bunsu berkata, himpunan gergasi yang mendapat kerjasama Jabatan Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN) UiTM itu akan berlangsung di Dewan Agong Tuanku Canselor UiTM Shah Alam dengan menghimpunkan kira-kira 2,000 alumni.

"Kita nak mengembalikan nostalgia dan keseronokan ketika ITM ditukar kepada UiTM... jadi, kita bawa idea ini untuk 2026... Ogos lepas menandakan ulang tahun ke-27 penjenamaan ITM kepada UiTM," katanya pada program Bernama TV Apa Khabar Malaysia, pada Selasa.

Naib Presiden Alumni dan pemegang taruh Persekutuan Alumni UiTM itu berkata, himpunan berkenaan menjadi ruang mengetengahkan aspirasi alumni kepada kepimpinan negara selain memberi peluang untuk mahasiswa baharu menyaksikan perkongsian pengalaman dan aspirasi alumni serta mengetahui harapan pimpinan negara terhadap warga universiti.

- Advertisement / Iklan -

Abang Mohd Hafizie turut mengajak seluruh warga UiTM dari era Dewan Latihan Lembaga Kemajuan Kampung dan Perusahaan (RIDA), Maktab MARA dan ITM sehingga penubuhan UiTM untuk bersama-sama menghadiri himpunan berkenaan.

Sementara itu, Setiausaha Eksekutif Himpunan Mesra Alumni UiTM bersama-sama Perdana Menteri, Dr Fatimah Zaharah Ali berkata, lapan Anugerah Tokoh Alumni UiTM dan satu anugerah khas akan disampaikan kepada alumni yang memberi sumbangan serta impak kepada universiti dan masyarakat.

- Advertisement / Iklan -

"Pemilihan tokoh ini bukan semata-mata berdasarkan kecemerlangan atau pencapaian kerjaya tetapi kita lihat dari segi sumbangan serta impak kepada universiti dan masyarakat,” katanya.

Fatimah yang juga Ketua Unit Jaringan dan Kerjasama Strategik Global Bahagian Jaringan Alumni dan Kesepaduan Bijak ICAN UiTM berkata, Biasiswa Alumni turut diperkenal buat kali pertama dengan lima penerima dipilih daripada hampir 1,000 permohonan.

Beliau berkata, himpunan itu bukan sekadar meraikan ulang tahun ke-70 UiTM tetapi turut menghargai perjalanan dan perkembangan institusi berkenaan sejak penubuhannya pada 1956. - Bernama