MENTERI Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan memberikan bayangan terdapat berita gembira bagi graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan bulan hadapan.

Berucap pada Majlis Konvokesyen Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) ke-17 pada Selasa, Ramanan bagaimanapun tidak memperincikan perkara berkenaan.

"Tidak lama lagi kerajaan akan mengumumkan bajet (Belanjawan 2027). Dalam bajet ini, ramai daripada graduan yang ada akan gembira,” katanya.

Belanjawan 2027 dijangka dibentangkan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan pada 9 Oktober depan.

- Advertisement / Iklan -

Mengenai gaji tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang TVET, Ramanan berkata kadar upah bidang itu kini boleh mencecah RM16,000 berbanding kira-kira RM12,000 sebelum ini.

Beliau berkata, perkembangan itu menunjukkan penerimaan industri terhadap graduan TVET semakin positif, sekali gus membuka peluang lebih luas kepada golongan berkemahiran untuk memperoleh pendapatan lebih tinggi.

- Advertisement / Iklan -

"Harapan ada... peluang pun ada. Jadi, anda mempunyai peluang yang sangat besar. Ambillah peluang yang disediakan ini," katanya.

Ramanan berkata, peningkatan gaji membuktikan graduan TVET mempunyai peluang besar untuk membina kerjaya dan memperoleh pendapatan lebih baik selaras dengan keperluan industri yang semakin berkembang.

Beliau turut menasihatkan graduan supaya tidak bimbang dengan perkembangan kecerdasan buatan (AI) dan automasi kerana teknologi berkenaan tidak bermakna manusia akan kehilangan tempat dalam dunia pekerjaan.

"Sebenarnya kita tidak perlu bimbang. Kita kena ikut perkembangan zaman dan mengejar apa yang ada di depan kita,” katanya.

"Akan sentiasa ada ruang untuk kita. Tetapi jika kita jauh ketinggalan kita akan menghadapi kesukaran untuk mengejar semula,” katanya.

Sehubungan dengan itu, graduan TVET perlu terus meningkatkan kompetensi dan mempelajari kemahiran baharu bagi memastikan bidang berkenaan kekal relevan dalam pasaran pekerjaan.

Majlis konvokesyen CIAST kali ini menyaksikan 929 graduan dari CIAST Shah Alam dan Kampus Satelit CIAST (CSC) berjaya menamatkan latihan peringkat diploma dan diploma lanjutan.