UNIVERSITI Kebangsaan Malaysia (UKM) menerima seramai 4,379 pelajar baharu bagi sesi akademik 2026/2027 yang mula mendaftar pada 19 September lalu.

Daripada jumlah itu, 2,889 atau 66 peratus merupakan pelajar perempuan, manakala 1,490 atau 34 peratus pelajar lelaki.

Pelajar baharu berkenaan dipilih daripada 86,504 permohonan yang diterima UKM pada tahun ini, dengan 10,637 pemohon memilih UKM sebagai pilihan pertama.

Seramai 4,379 pelajar melafaz ikrar di hadapan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Sufian Jusoh pada sesi Bacaan Ikrar Pelajar Baharu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Sesi 2026/2027 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak UKM Bangi. - Foto Bernama

- Advertisement / Iklan -

Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Sufian Jusoh berkata, pelajar baharu itu merupakan Generasi 57 atau Gen 57 UKM yang bakal meneruskan legasi universiti serta membawa nama baik UKM pada masa hadapan.

“Gen 57 merupakan generasi yang bakal berada dalam alam pekerjaan dan kepimpinan negara ketika Malaysia mencapai 100 tahun kemerdekaan pada 2057.

- Advertisement / Iklan -

“Pelajar baharu akan mengikuti pelbagai program yang memberi pendedahan kepada kehidupan universiti, pembangunan sahsiah serta persediaan menghadapi cabaran masa depan.

“Kini mereka sedang melalui minggu suai kenal iaitu Minggu TEKAD Siswa selama empat hari yang merangkumi Amanat Naib Canselor, Forum Legasi Tun Abdul Razak, Forum Tekad Mahasiswa, UKM Berselawat, Slot Bersama Pemimpin, sesi bersama alumni, fakulti dan kolej kediaman,” katanya selepas Bacaan Ikrar dan Sidang Media Pendaftaran Pelajar Baharu UKM sesi 2026/2027, pada Selasa.

Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Sufian Jusoh bercakap kepada media selepas hadir ke sesi Bacaan Ikrar dan Sidang Media Pendaftaran Pelajar Baharu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Sesi 2026/2027 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak UKM Bangi.

Pada kemasukan kali ini, seramai 115 pelajar antarabangsa daripada beberapa negara termasuk Indonesia, China, Bangladesh, Singapura, Vietnam, Turkiye, India, Iran dan Mesir turut mendaftar sebagai pelajar baharu UKM.

Turut menerima tawaran ialah 14 pelajar Orang Kurang Upaya (OKU), tujuh pelajar Orang Asli dan lapan pasangan kembar.

Dalam pada itu, sebanyak 57.42 peratus atau 2,600 pelajar baharu datang daripada keluarga B40.

Sebagai sebahagian daripada usaha membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah, seramai 29 pelajar diberikan penangguhan bayaran yuran pendaftaran sementara menunggu kelulusan pembiayaan seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), biasiswa swasta, bantuan zakat dan asnaf.

UKM turut menerima sumbangan 15 komputer riba daripada Maxis, 20 komputer riba daripada KPMG dan 10 komputer tablet daripada alumni untuk diagihkan kepada pelajar yang memerlukan.

Selain itu, sebanyak 4,000 naskhah al-Quran Mufiq UKM turut disumbangkan untuk kegunaan pelajar.

Melalui Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPIEM), seramai 59 pelajar menerima bantuan sara hidup berjumlah RM1,000 setiap seorang, 38 pelajar menerima bantuan yuran pengajian berjumlah RM25,080, manakala tujuh pelajar menerima bantuan komputer riba bernilai RM17,500.

UKM turut melaksanakan kerja-kerja baik pulih di sembilan kolej kediaman yang melibatkan 15 blok dengan kos RM19.07 juta, sekali gus meningkatkan kapasiti penginapan sebanyak 1,634 tempat.

Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Sufian Jusoh bercakap kepada media selepas hadir ke sesi Bacaan Ikrar dan Sidang Media Pendaftaran Pelajar Baharu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Sesi 2026/2027 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak UKM Bangi.
Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Sufian Jusoh bercakap kepada media selepas hadir ke sesi Bacaan Ikrar dan Sidang Media Pendaftaran Pelajar Baharu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Sesi 2026/2027 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak UKM Bangi.

Sufian juga turut mengumumkan Biasiswa Naib Canselor yang merangkumi tajaan yuran pengajian, bantuan sara hidup sebanyak RM800 sebulan dan elaun penginapan RM720 setahun sepanjang tempoh pengajian.

Dengan jumlah peruntukan sebanyak RM234,980, biasiswa itu diberikan kepada tiga pelajar perempuan yang cemerlang dalam akademik dan berasal daripada keluarga B40.

Mereka ialah Wan Nur Mahirah Wan Harun, pelajar Sarjana Muda Ekonomi dengan Kepujian dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan yang memperoleh 5A dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025.

Penerima kedua, Saw Xin En, ialah pelajar Sarjana Muda Undang-Undang dengan Kepujian dari Fakulti Undang-Undang yang memperoleh Purata Nilaian Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 dalam STPM dan merupakan seorang OKU penglihatan.

Penerima ketiga ialah Nur Natasha Amirah Mohd Helmi, pelajar Sarjana Muda Sains Sosial Kriminologi dengan Kepujian dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan yang memperoleh PNGK 3.33 di Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan.