POLIMAS rangkul naib johan, sapu empat Anugerah Pendebat Terbaik
EMPAT Anugerah Pendebat Terbaik mengiringi kejayaan Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) apabila pasukan debat institusi itu muncul Naib Johan Pertandingan Debat dan Pidato Bahasa Melayu Piala Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) 2026.
Saingan yang berlangsung di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), semalam menyaksikan Pasukan Debat A POLIMAS mara ke pentas akhir dan menamatkan pertandingan di kedudukan kedua daripada 24 pasukan keseluruhan.
Mewakili barisan pemenang, Muhammad Nur Syahmin Mohamad Sahrizan berkata, pencapaian tersebut merupakan hasil kerja keras, keserasian dan disiplin tinggi seluruh ahli pasukan sepanjang tempoh persediaan.
“Anugerah dan kejayaan ini bukan milik individu semata-mata, sebaliknya merupakan hasil kerja keras, keserasian dan disiplin tinggi yang ditunjukkan oleh seluruh ahli pasukan.
“Pertandingan debat ini menguji ketajaman minda, kematangan emosi dan keupayaan kami untuk beraksi di pentas. Kami amat berbangga kerana berjaya menterjemahkan strategi dan usaha sepanjang latihan kepada kejayaan yang bermakna buat POLIMAS,” katanya.

Pasukan Debat A yang turut dianggotai Kahyeesah Hayrul, Muhammad Haikal Rahimi Mohd Fauzi dan Muhammad Azrie Naufal Azahari turut mencuri perhatian apabila Muhammad Nur Syahmin dan Kahyeesah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pendebat Terbaik.
Kecemerlangan POLIMAS diteruskan Pasukan Debat B yang berjaya mara ke peringkat separuh akhir dan meraih tempat ketiga bersama, selain menduduki ranking kelapan daripada 24 pasukan bertanding.
Dua lagi Anugerah Pendebat Terbaik menjadi milik Muhammad Taufiq Iskandar Zulkarnain dan Muhammad Faris Fahmi Ahmad Fauzi, manakala pasukan berkenaan turut diperkuatkan Munirah Sahamdin dan Haakas Rao.

Dalam kategori Pidato pula, wakil tunggal POLIMAS, Nurul Halimaton Saadiah Bukhri turut membuktikan keupayaan institusi dalam pengucapan awam apabila mara ke pentas akhir dan meraih Hadiah Saguhati Tempat Keempat, sekali gus menduduki ranking kedua daripada 26 peserta.
Secara keseluruhannya, POLIMAS menghantar sembilan mahasiswa menyertai pertandingan berkenaan dengan kesemua peserta menerima bimbingan dan latihan daripada dua pensyarah pengiring Jabatan Pengajian Am (JPA), Ivanatasha Abdul Majid dan Nurzawanah Rohaizat.
Ivanatasha berkata, komitmen tinggi, kesediaan menerima teguran dan semangat juang yang ditunjukkan mahasiswa sepanjang latihan menjadi antara faktor penting kepada pencapaian tersebut.
“Mereka telah mengorbankan banyak masa dan tenaga untuk mempersiapkan diri menghadapi pertandingan. Kunci utama kejayaan kali ini ialah sokongan padu antara ahli pasukan, kesediaan mereka menerima teguran serta semangat juang yang tidak pernah luntur walaupun berdepan persaingan sengit daripada institusi-institusi lain.
“Komitmen yang ditunjukkan oleh mereka dalam pertandingan debat dan pidato amat membanggakan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah POLIMAS, Wan Zulkifly Wan Zakaria merakamkan tahniah kepada seluruh kontinjen atas pencapaian yang mengharumkan nama institusi di peringkat kebangsaan.
“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada semua pelajar serta pensyarah pembimbing yang terlibat. Pencapaian ini bukan sahaja membuktikan keupayaan pelajar POLIMAS dalam bidang akademik, malah turut menyerlahkan penguasaan kemahiran insaniah (soft skills), pemikiran kritis dan keyakinan berkomunikasi yang tinggi.
“Anda semua merupakan duta POLIMAS yang telah mengharumkan nama institusi di persada kebangsaan serta menjadi inspirasi kepada seluruh warga politeknik,” katanya.
