MENTERI Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir menziarahi keluarga pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang terjejas dalam tragedi kebakaran di Kampung Numbak, Kota Kinabalu pada 30 Ogos lalu.

Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), kunjungan itu bertujuan menyantuni pelajar dan keluarga mereka, selain meninjau keadaan serta keperluan semasa mangsa yang kehilangan tempat tinggal dan harta benda akibat kebakaran berkenaan.

Seramai sembilan pelajar daripada enam IPT terjejas dalam kejadian itu, membabitkan Universiti Malaya (UM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Malaysia Sabah (UMS), North Borneo University College (NBUC), UNITAR Kota Kinabalu dan Goon International University College (GIUC).

Menurut kenyataan itu, setiap pelajar menerima bantuan awal sebanyak RM3,000 daripada Yayasan Perkasa Siswa (YPS), manakala IPT terbabit turut menyalurkan bantuan tambahan berdasarkan keperluan pelajar masing-masing.

- Advertisement / Iklan -

“Musibah ini bukan sahaja menyebabkan kehilangan harta benda, malah memberikan kesan emosi kepada pelajar dan keluarga. Kehadiran kami adalah untuk memastikan mereka tidak berasa bersendirian ketika melalui saat yang sukar ini.

“Keutamaan Kementerian adalah untuk memastikan kebajikan dan pengajian mereka terus terpelihara. Kesusahan yang dihadapi tidak seharusnya menjadi penghalang kepada mereka untuk meneruskan pengajian dan membina masa depan,” kata Zambry pada Isnin.

- Advertisement / Iklan -

Zambry ziarah pelajar IPT terjejas kebakaran Kampung Numbak.
Zambry ziarah pelajar IPT terjejas kebakaran Kampung Numbak.

Beliau turut meminta IPT terbabit memantau keadaan setiap pelajar serta menyediakan bantuan susulan termasuk kemudahan penginapan, keperluan pembelajaran, sokongan kewangan dan khidmat psikososial sekiranya diperlukan.

Dalam lawatan sama, Zambry turut menziarahi kediaman dua pelajar baharu, Nur Kyra Alya binti Mohamad Mekah yang bakal melanjutkan pengajian di UMS dan Norsarina binti Abdullah, bakal pelajar program Bacelor Pendidikan Bahasa Melayu dengan Kepujian di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Menurut kenyataan KPT, kedua-dua pelajar berkenaan datang daripada keluarga yang berdepan kesukaran kewangan serta mempunyai kekangan untuk membuat persediaan dan mendaftar masuk ke universiti.

KPT bersama YPS telah menghulurkan bantuan kewangan kepada kedua-dua pelajar itu, manakala UMS dan UPM akan membantu dari segi persediaan serta keperluan pendaftaran bagi memastikan mereka dapat memulakan pengajian dengan lancar.

“Anak-anak ini telah memperoleh peluang untuk melanjutkan pengajian. Jangan biarkan masalah kewangan, kos perjalanan atau kekurangan persediaan menyebabkan mereka terpaksa melepaskan peluang tersebut.

“Jika ada kekangan, maklumkan segera kepada universiti atau Kementerian. Kita akan berusaha mencari jalan supaya mereka dapat masuk ke universiti dan meneruskan pengajian,” katanya.

Menurut kenyataan itu, inisiatif berkenaan selaras dengan pendekatan yang diterapkan Zambry agar KPT, universiti dan seluruh ekosistem pendidikan tinggi lebih tangkas mengenal pasti serta membantu pelajar yang berdepan kesulitan.

Pendekatan itu menekankan bahawa setiap pelajar yang layak melanjutkan pengajian perlu diberikan bantuan segera dan bersesuaian supaya faktor kemiskinan, musibah keluarga atau kekangan logistik tidak menutup peluang mereka mendapatkan pendidikan tinggi.

“Keluarga besar pendidikan tinggi mesti hadir ketika mahasiswa memerlukan. Kita bukan sekadar membuka pintu universiti, tetapi perlu membantu mereka melangkah masuk dan memastikan mereka mampu meneruskan pengajian dengan baik,” katanya.