KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) akan menganjurkan Hari Biasiswa 2026 di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Melaka (KOMBES) Ayer Keroh pada 26 dan 27 September ini, bagi meningkatkan kesedaran pelajar tentang tawaran penajaan pendidikan tinggi di dalam negara.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim berkata, program itu ialah inisiatif baharu KPT untuk memastikan maklumat berkaitan peluang biasiswa dapat disampaikan secara lebih meluas dan mudah diakses oleh pelajar serta bakal pelajar.

"Kita dapat maklum balas dari semasa ke semasa mengatakan maklumat berkaitan tawaran biasiswa yang boleh dimohon itu ada yang tidak sampai.

"Jadi, kita melaksanakan inisiatif untuk menyebarluaskan maklumat dan meningkatkan kesedaran tentang biasiswa yang ada di dalam negara kita," katanya kepada pemberita selepas sesi penyerahan Biasiswa Anak eKasih (BAeK) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Ayer Keroh, pada Ahad.

- Advertisement / Iklan -

Adam Adli berkata, penganjuran Hari Biasiswa 2026 itu tidak terhad kepada biasiswa ditawarkan kerajaan, sebaliknya turut melibatkan penajaan sektor swasta bagi memberikan lebih banyak pilihan kepada pelajar.

Beliau berkata, lebih 20 institusi, syarikat, yayasan dan agensi dijangka berhimpun pada program berkenaan, selain penyertaan penaja antarabangsa dari Amerika Syarikat, Jepun, Hungary dan Rusia.

- Advertisement / Iklan -

"Pelajar-pelajar boleh datang dan dapatkan maklumat itu sendiri, boleh berinteraksi dengan wakil-wakil antaranya PTPTN, Khazanah Nasional Bhd, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Petronas.

"Objektif utama adalah untuk menghimpunkan pelbagai agensi penaja di bawah satu bumbung, sekali gus memudahkan pelajar mendapatkan maklumat yang komprehensif, meneroka peluang penajaan secara meluas dan menerima khidmat konsultasi secara terus bagi melanjutkan pengajian ke peringkat pendidikan tinggi," katanya.

Adam Adli berkata, Unit Pusat Universiti (UPU) Bergerak juga akan menyediakan kaunter penerangan secara bersemuka bagi membantu pelajar mendapatkan maklumat berkaitan kemasukan ke institusi pengajian tinggi.

"Kita buka kaunter-kaunter sebaran maklumat supaya pelajar boleh semak cara nak kira merit, kelayakan mereka dan sebagainya supaya mereka boleh buat pilihan yang lebih tepat," katanya.

Program bertemakan "Menaja Potensi, Membina Legasi" itu turut menyediakan pameran penajaan, khidmat konsultasi UPUOnline secara bersemuka, demonstrasi kemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta lima sesi bual bicara berkaitan biasiswa, penajaan dan laluan pendidikan tinggi. - Bernama