SEMANGAT berkongsi rezeki dan menyantuni mahasiswa yang memerlukan terus disuburkan di Politeknik Ungku Omar (PUO) menerusi Program Infaq Merdeka: Sadaqah Jumaat.

Dianjurkan Unit Komunikasi dan Hubungan Korporat (UKK) PUO, program itu menyaksikan seramai 100 pelajar asnaf menerima pek makanan dan minuman sebagai usaha membantu meringankan keperluan harian mereka sepanjang menjalani kehidupan di kampus.

Ketua Komunikasi dan Hubungan Korporat PUO, Noor Idayu Yeop Husin berkata, inisiatif berkenaan bukan sekadar program kebajikan, sebaliknya menjadi ruang untuk warga PUO menghidupkan amalan bersedekah, khususnya pada hari Jumaat yang penuh keberkatan.

“Alhamdulillah, UKK PUO bersyukur kerana dapat merealisasikan program yang sederhana dari segi pelaksanaannya, namun besar maknanya kepada penerima.

- Advertisement / Iklan -

“Kami amat menghargai setiap sumbangan dan sokongan yang diberikan secara langsung mahupun tidak langsung. Semoga setiap infaq yang disumbangkan menjadi amal kebajikan dan memberi manfaat kepada pelajar yang memerlukan,” katanya.

Menurutnya, pelaksanaan Infaq Merdeka turut didorong hasrat untuk menyampaikan sedekah atas nama ahli keluarga yang telah meninggal dunia, sekali gus menjadikan sumbangan berkenaan lebih bermakna kepada pemberi dan penerima.

- Advertisement / Iklan -

Beliau berkata, bantuan makanan dan minuman yang diterima turut memberi sedikit kelegaan kepada pelajar asnaf dalam menguruskan perbelanjaan harian sepanjang berada di kampus.

Katanya, sebahagian penerima juga tinggal menyewa di luar kampus, sekali gus menjadikan sumbangan berbentuk makanan sebagai bantuan yang amat dihargai.

“Ada pelajar yang menyatakan harapan agar inisiatif seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang kerana ia benar-benar memberi manfaat, khususnya kepada mereka yang perlu berjimat sepanjang tempoh pengajian.

“Mereka ini ibarat anak-anak kita sendiri. Justeru, ruang untuk kita berkongsi rezeki dan membantu mereka sentiasa terbuka,” katanya.

Menurutnya, sehubungan itu, UKK PUO mengalu-alukan sumbangan daripada warga PUO, komuniti serta pihak yang prihatin bagi bersama-sama menyokong kebajikan pelajar yang memerlukan.

Inisiatif berkenaan turut selari dengan semangat Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) yang bukan sahaja menyemarakkan patriotisme, malah menyuburkan nilai kepedulian, kebersamaan dan sikap saling membantu dalam kalangan masyarakat.

Program Infaq Merdeka membuktikan semangat kemerdekaan boleh diterjemahkan melalui tindakan yang dekat dengan kehidupan mahasiswa, termasuk berkongsi rezeki, menyantuni golongan memerlukan dan membina komuniti kampus yang lebih prihatin.