Program EMGS bawa pelajar antarabangsa ‘feel’ budaya Malaysia
PROGRAM penghayatan budaya untuk pelajar antarabangsa yang berlangsung di sini berjaya memberikan mereka kefahaman mendalam mengenai budaya dan cara hidup masyarakat Malaysia menerusi pendedahan terhadap tradisi tempatan, makanan, alam semula jadi dan komuniti.
Bagi Carl Milton, 23, dari Sweden, cara hidup di Malaysia jelas berbeza berbanding negara asalnya, namun beliau menganggap usaha menyesuaikan diri dengan perbezaan tersebut sebagai sebahagian daripada pengalaman belajar di luar negara.
"Sememangnya, ia berbeza berbanding tempat asal saya. Namun saya rasa, lama-kelamaan saya akan dapat menyesuaikan diri dengan lebih baik. Saya rasa ini adalah sebahagian daripada pengalaman bagaimana masyarakat Malaysia menjalani kehidupan," kata mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal.

Leila Bouida, 29, dari Algeria yang sedang mengikuti pengajian doktor falsafah (PhD) di Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, beliau gembira menyertai program tersebut kerana ia memberi peluang kepada pelajar antarabangsa untuk merasai pengalaman budaya Malaysia sambil memperoleh kefahaman yang lebih baik tentang cara hidup penduduk tempatan.
"Saya sangat suka cara mereka membantu kami menyelami budaya Malaysia. Saya amat menggemari cara hidup mereka, bagaimana mereka menjalani kehidupan dengan santai dan sebagainya. Hal ini banyak membantu saya dalam pelajaran serta kehidupan saya di Malaysia," katanya.

Merjen Porrykova, 23, dari Turkmenistan berkata program tersebut turut memberi peluang kepada pelajar antarabangsa untuk berkenalan antara satu sama lain, meningkatkan kemahiran komunikasi serta mempelajari lebih lanjut tentang budaya, kepelbagaian dan makanan di Malaysia.
Beliau berkata adalah penting bagi pelajar antarabangsa untuk tidak hanya bergaul dalam komuniti mereka sendiri, sebaliknya turut mengenali budaya dan negara yang telah menerima mereka untuk melanjutkan pendidikan, di samping memberikan mereka peluang untuk bertemu dengan orang baharu dan memperoleh pengalaman.
"Itulah sebabnya saya sangat suka apabila Education Malaysia Global Services (EMGS) menganjurkan aktiviti seperti ini kerana ia dapat menghimpunkan pelajar antarabangsa, jadi kami tidak berasa asing, malah berada tepat di tempat yang sepatutnya," katanya.
Berkongsi pengalamannya sendiri, Merjen berkata selepas enam bulan berada di Malaysia, beliau benar-benar jatuh hati dengan negara ini dan tidak lagi berasa seperti orang asing, malah menganggap individu di sekelilingnya sebagai keluarga keduanya.

Sementara itu, Elyorbek Abdullajonov, 18, dari Uzbekistan yang sedang menuntut di Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata beliau telah banyak mempelajari tentang penduduk tempatan, makanan, tradisi serta budaya sepanjang berada di sini.
Beliau berkata, program EMGS menggalakkan pelajar antarabangsa untuk mengenali Malaysia dengan lebih mendalam, termasuk budaya dan alam semula jadinya sambil memberikan mereka peluang berkenalan dengan rakan-rakan baharu dan merasai pengalaman kehidupan di negara ini dalam pelbagai aspek.
"Pada awalnya, ia agak berbeza dengan negara saya kerana makanan di Malaysia agak pedas. Namun, selepas beberapa hari, apabila kami makan nasi kandar dan nasi goreng, saya semakin terbiasa dengannya," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif EMGS Novie Tajuddin berkata, hubungan baik dengan komuniti setempat penting dalam membentuk persekitaran yang mesra, prihatin dan saling menghormati, sekali gus menyokong keberadaan serta kesejahteraan pelajar antarabangsa di negara ini.
Beliau berkata, pihaknya turut mengambil peluang menyantuni komuniti setempat serta menyampaikan sumbangan khusus kepada penerima terpilih sempena program MYDiscovery Langkawi kali ini.
"Tanggungjawab kami terhadap pendidikan antarabangsa berkait rapat dengan komuniti di sekeliling kami. Peranan EMGS bukan sahaja tertumpu kepada kebajikan dan pengalaman pelajar antarabangsa, malah merangkumi sokongan terhadap usaha kemasyarakatan yang memperkasakan generasi muda," katanya.

Novie berkata, pihaknya turut menyampaikan sumbangan kepada 50 penerima daripada Pusat Aktiviti Kanak-Kanak Daerah Langkawi, Perumahan Desa Keda Wang Tok Rendong di sini, sebagai sebahagian daripada usaha EMGS untuk mendekati komuniti setempat dan menyokong golongan yang memerlukan.
Sumbangan berbentuk wang tunai serta keperluan persekolahan termasuk alat tulis bernilai RM14,000 itu disampaikan pada satu majlis di MAHA Tower dan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif MAHA Tower Dzariman Ibrahim.

Novie berkata, inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen EMGS untuk memastikan peranannya dalam ekosistem pendidikan antarabangsa turut memberi nilai kepada masyarakat.
Pada edisi kedua MYDiscovery kali ini, sebanyak 90 pelajar antarabangsa dari 38 negara menyertai program penghayatan budaya di pulau pelancongan itu yang berlangsung selama tiga hari bermula Isnin lepas. - Bernama
