APA yang ada di sebalik pokok bulatok (Paullinia cupana) yang ditanam di pelbagai kawasan di Sabah bakal dikaji dengan lebih dekat menerusi penyelidikan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Sebanyak 1,000 pokok bulatok dari pelbagai kawasan penanaman di seluruh Sabah akan dinilai bagi mengenal pasti kepelbagaian genetik, status kesihatan tanaman serta faktor persekitaran yang mempengaruhi pertumbuhan dan produktivitinya.

Pengarah Institut Penyelidikan Bioteknologi (IPB) UMS, Profesor Dr. Jualang @ Azlan Gansau berkata, kerjasama antara universiti, komuniti, industri dan agensi berkaitan penting bagi memastikan kepakaran serta hasil penyelidikan dapat diterjemahkan kepada manfaat yang lebih dekat dengan masyarakat.

“Penyelidikan ini penting bagi memastikan ilmu dan kepakaran saintifik dapat diterjemahkan kepada penyelesaian yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.

- Advertisement / Iklan -

“Pembangunan bidang agrobioteknologi di Sabah memerlukan lebih banyak kerjasama seperti ini.

“Sabah mempunyai kekayaan biodiversiti dan sumber biologi yang besar, tetapi potensi tersebut perlu disokong oleh penyelidikan saintifik, inovasi dan jaringan kerjasama yang kukuh,” katanya.

- Advertisement / Iklan -

Penyelidikan itu diterajui IPB UMS dengan kerjasama Persatuan Pengusaha Bulatok Sabah (PPBS), khususnya dalam mengenal pasti lokasi serta komuniti penanam, selain membantu pengumpulan data dan pemindahan ilmu.

Kerjasama tersebut susulan pemeteraian dokumen perjanjian penyelidikan antara UMS dan PPBS sempena Majlis Perasmian Simposium Bioteknologi Antarabangsa Ke-9 (SB9) baru-baru ini.

Presiden PPBS, Datuk Seri Panglima Wilfred Mojilip Bumburing berkata, bulatok mempunyai potensi ekonomi yang besar kepada komuniti penanam di Sabah.

“Pembangunan tanaman ini memerlukan data dan bukti saintifik yang kukuh, khususnya berkaitan kepelbagaian tanaman, kesihatan pokok, kesesuaian persekitaran dan amalan penanaman.

“Kerjasama ini penting dalam menghubungkan kepakaran universiti dengan pengalaman serta pengetahuan komuniti penanam di lapangan,” katanya.

Menurutnya, kepakaran penyelidik IPB UMS diyakini dapat membantu persatuan dan komuniti pengusaha mendapatkan data saintifik yang lebih menyeluruh mengenai tanaman berkenaan.

Bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai bulatok di Sabah, kajian itu akan melibatkan penilaian terhadap 1,000 sampel pokok dari pelbagai kawasan penanaman.

Penyelidik akan mendokumentasikan lokasi penanaman menggunakan sistem GPS, selain menilai ciri morfologi dan variasi genetik tanaman serta mengesan patogen menerusi pendekatan molekul moden.

Penyelidikan diketuai Timbalan Pengarah (Penyelidikan dan Inovasi) IPB, Profesor Madya Ts. Dr. Wilson Yong Thau Lym.

Kajian tersebut dijangka menghasilkan dokumentasi saintifik pertama yang lebih menyeluruh mengenai taburan dan status penanaman bulatok di Sabah.

Pada masa sama, penyelidikan berkenaan akan membangunkan profil kepelbagaian genetik, status kesihatan tanaman serta inventori patogen yang berpotensi menjejaskan bulatok.

Dapatan kajian kelak boleh menjadi asas kepada usaha pengiktirafan rasmi dan pengawalseliaan penanaman bulatok, selain membantu membangunkan amalan agronomi yang lebih mampan.

Ia juga berpotensi menyokong pembentukan rantaian nilai serta penghasilan produk bernilai tambah berasaskan sumber tempatan, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada perkembangan tanaman bulatok di Sabah.