BULAN September sentiasa membawa denyut yang berbeza kepada sesebuah universiti.

Jalan yang sebelumnya lengang kembali dipenuhi langkah mahasiswa, dewan kuliah kembali bergema dengan perbincangan, perpustakaan kembali menjadi ruang pencarian ilmu, manakala kafeteria dan ruang santai kembali dipenuhi suara dan cerita.

Namun, di sebalik kemeriahan itu, terdapat satu persoalan yang lebih besar untuk direnungkan: apakah sebenarnya yang ingin kita bina apabila seorang mahasiswa melangkah masuk ke universiti?

Adakah kita sekadar mahu melahirkan graduan yang mempunyai segulung ijazah, atau kita mahu membentuk insan yang mempunyai ilmu, akhlak, daya fikir, ketahanan diri dan kesedaran tentang tanggungjawabnya kepada masyarakat?

- Advertisement / Iklan -

Persoalan ini penting kerana universiti bukan sekadar tempat untuk memperoleh kelayakan akademik. Universiti ialah ruang pembentukan manusia.

Setiap kali pendaftaran mahasiswa baharu dibuka, sistem universiti akan merekodkan pelbagai nombor – jumlah kemasukan, program pengajian, fakulti, yuran, penginapan dan pelbagai lagi data berkaitan.

- Advertisement / Iklan -

Namun di sebalik setiap nombor itu ada seorang manusia. Ada anak yang pertama kali meninggalkan keluarga.

Ada yang datang daripada keluarga sederhana dan membawa harapan besar ibu bapa.

Ada yang masih mencari keyakinan diri. Ada yang datang dengan impian besar, tetapi mungkin tidak tahu bagaimana untuk mencapainya.

Justeru, mahasiswa tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai angka dalam sistem pengurusan universiti. Mereka ialah amanah yang perlu dibimbing.

Universiti perlu bertanya bukan sahaja berapa ramai mahasiswa yang berjaya menamatkan pengajian, tetapi juga apakah jenis manusia yang lahir selepas mereka meninggalkan kampus.

Minggu suai kenal lazimnya menjadi pengalaman pertama mahasiswa mengenali universiti.

Mereka diperkenalkan kepada fakulti, pensyarah, kemudahan, peraturan, sistem akademik dan pelbagai perkhidmatan yang disediakan.

Namun, proses ini tidak seharusnya berhenti pada pengenalan fizikal dan prosedur.

Mahasiswa baharu perlu diperkenalkan kepada budaya universiti; budaya ilmu, integriti, disiplin, hormat-menghormati, kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial.

Mereka perlu memahami bahawa menjadi mahasiswa universiti bukan sekadar datang ke kuliah, menduduki peperiksaan dan memperoleh ijazah.

Ia adalah satu proses transformasi diri. Daripada seorang pelajar sekolah kepada individu yang mampu berfikir secara matang.

Daripada penerima ilmu kepada pencipta idea. Daripada individu yang hanya memikirkan kejayaan diri kepada insan yang memahami tanggungjawabnya terhadap masyarakat.

Dalam perbincangan mengenai pendidikan tinggi, perhatian sering diberikan kepada pensyarah sebagai pendidik.

Hakikatnya, pengalaman seorang mahasiswa di universiti turut banyak dipengaruhi oleh para pentadbir dan pegawai yang berada di belakang tabir.

Proses pendaftaran, penginapan, bantuan kewangan, perkhidmatan kaunseling, perpustakaan, keselamatan, aktiviti pelajar, kebajikan, perkhidmatan digital dan pelbagai urusan pentadbiran semuanya membentuk pengalaman mahasiswa.

Di sinilah pentingnya peranan pentadbir universiti. Pentadbir bukan sekadar melaksanakan prosedur. Mereka sebenarnya ialah arkitek pengalaman mahasiswa.

Satu senyuman ketika membantu mahasiswa yang keliru mungkin kelihatan kecil, tetapi boleh memberikan keyakinan kepada seorang anak yang baru pertama kali berada jauh daripada keluarga.

Sebaliknya, layanan yang terlalu birokratik dan tidak berempati boleh menyebabkan mahasiswa merasakan universiti sebagai sebuah institusi yang dingin dan tidak peduli.

Universiti yang hebat bukan hanya diukur melalui ranking, jumlah penerbitan, kebolehpasaran graduan atau kecanggihan infrastrukturnya. Semua itu penting, tetapi ukuran yang lebih mendalam ialah kesan universiti terhadap kehidupan manusia.

Adakah mahasiswa yang masuk sebagai individu yang kurang yakin keluar sebagai insan yang berani menghadapi cabaran?

Adakah mereka menjadi lebih berintegriti?

Adakah mereka mempunyai keupayaan berfikir secara kritis?

Adakah mereka mempunyai empati terhadap masyarakat?

Adakah mereka memahami bahawa ilmu yang diperoleh bukan hanya untuk mendapatkan pekerjaan dan gaji yang lebih baik, tetapi juga untuk menyelesaikan masalah manusia?

Jika jawapannya ya, maka universiti sebenarnya telah melaksanakan fungsi yang jauh lebih besar daripada sekadar pendidikan. Ia telah menginsankan pendidikan. Membina kampus yang hidup bukan hanya kampus yang penuh dengan mahasiswa.

Kampus yang benar-benar bernyawa ialah kampus yang mempunyai budaya ilmu, interaksi manusiawi dan semangat kebersamaan.

Pensyarah bukan sekadar penyampai kuliah. Pentadbir bukan sekadar pelaksana prosedur. Mahasiswa bukan sekadar penerima perkhidmatan. Sebaliknya, semuanya ialah sebahagian daripada sebuah komuniti ilmu yang saling melengkapi.

Dalam konteks ini, setiap warga universiti mempunyai peranan untuk mewujudkan suasana kampus yang lebih manusiawi – tempat mahasiswa berani bertanya, berani mencuba, berani gagal dan berani bangkit semula.

Kita perlu membina universiti yang membuatkan mahasiswa bukan sahaja berkata, “Saya pernah belajar di sini,” tetapi suatu hari nanti mampu berkata, “Universiti inilah yang telah mengubah kehidupan saya.”

Apabila mahasiswa baharu melangkah ke kampus pada September ini, mereka sebenarnya sedang memulakan satu perjalanan yang panjang. Di hadapan mereka ada kuliah, peperiksaan, tugasan, persahabatan, cabaran, kegagalan dan kejayaan.

Tetapi di sebalik semua itu, ada sesuatu yang lebih besar iaitu proses menemukan siapa diri mereka dan untuk apa ilmu yang mereka miliki.

Justeru, menjadi tanggungjawab seluruh warga universiti untuk memastikan perjalanan itu tidak sekadar membawa mereka menuju sebuah ijazah, tetapi membawa mereka menuju kematangan sebagai manusia.

September bukan sekadar bulan bermulanya semester baharu. September ialah simbol bahawa universiti kembali bernyawa dan bersama denyut kehidupan itu, kita mempunyai peluang untuk menyalakan kembali cita-cita tentang sebuah universiti yang bukan sahaja mencerdaskan minda, tetapi membentuk jiwa. Kerana akhirnya, universiti tidak hanya dinilai berdasarkan bangunan yang dibina atau program yang ditawarkan.

Universiti dikenang melalui manusia yang pernah dibentuknya. Setiap mahasiswa yang melangkah masuk ke kampus hari ini adalah amanah untuk kita bantu menjadi insan yang lebih baik pada hari esok.

* Shafry Salim ialah Pengarah Pusat Islam, UTHM