DEWAN Perniagaan Datuk Dato Malaysia (DPDDM) memperkukuh kerjasama strategik bersama Koperasi Kakitangan UiTM Berhad (UiTMKOOP) dalam usaha memperluas perkhidmatan Ar-Rahnu Al-Falah, termasuk menyasarkan pembukaan 30 cawangan baharu di seluruh Malaysia.

Presiden DPDDM, Datuk Nor Hasnal Hashmi, berkata perkembangan nilai emas di pasaran membuka peluang kepada UiTMKOOP untuk memperkukuh serta mengembangkan perkhidmatan Ar-Rahnu Al-Falah, selain meneroka potensi dalam sektor lain.

“Itu sebabnya kami rancang nak buka 30 cawangan baharu Ar-Rahnu Al-Falah di seluruh Malaysia.

"Pada masa yang sama, koperasi juga akan terus meneroka peluang-peluang dalam sektor hartanah serta mempergiatkan pelbagai inisiatif kemasyarakatan melalui penganjuran program-program yang memberi nilai kepada anggota dan komuniti, termasuk kejohanan golf serta aktiviti kemasyarakatan, kesenian dan kebudayaan,” katanya.

- Advertisement / Iklan -

Nor Hasnal berkata, kerjasama antara DPDDM dan UiTMKOOP itu turut memberi tumpuan kepada usaha memperluas rangkaian perkhidmatan koperasi, sekali gus membuka lebih banyak ruang kepada masyarakat mendapatkan kemudahan kewangan patuh Syariah.

"Dalam masa sama, usaha memperkukuh keanggotaan serta menggalakkan pelaburan dalam koperasi turut diberi perhatian bagi membantu meningkatkan kedudukan kewangan, kapasiti pelaburan dan pertumbuhan UiTMKOOP dalam jangka panjang," katanya.

- Advertisement / Iklan -

Menurut Nor Hasnal, keanggotaan UiTMKOOP ketika ini terbuka kepada warga kerja UiTM, manakala beberapa perkhidmatan seperti takaful kenderaan, jualan cukai dan Ar-Rahnu Al-Falah pula terbuka kepada masyarakat umum.

“Perkhidmatan seperti Ar-Rahnu Al-Falah terbuka kepada seluruh masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, penglibatan golongan profesional daripada pelbagai sektor UiTM dalam DPDDM turut membuka ruang kepada kerjasama lebih luas bersama UiTMKOOP.

Menurutnya, jaringan itu boleh menjadi jambatan kepada usaha membangunkan komuniti berpendidikan, perniagaan dan usahawan baharu, selain menyokong agenda ekonomi yang memberi manfaat lebih meluas kepada masyarakat.

Kerjasama berkenaan turut dilihat sebagai ruang untuk mengembangkan ekosistem ekonomi rakyat menerusi gabungan kekuatan sektor korporat dan koperasi, selari dengan aspirasi Ekonomi Madani.

Lawatan kerja DPDDM ke UiTMKOOP itu dijangka menjadi pemangkin kepada lebih banyak usaha bersama, termasuk meneroka peluang perniagaan baharu serta memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang.

Sementara itu, Pengerusi UiTMKOOP, Syahrudin Hanib berkata, pengalaman koperasi selama 58 tahun menjadi asas untuk pihaknya terus bergerak ke hadapan dengan memberi penekanan kepada inovasi, kerjasama dan keusahawanan koperasi.

“Kalau semuanya berjalan lancar, kami juga merancang untuk menganjurkan Kejohanan Golf Amal DPDDM dan UiTMKOOP yang turut melibatkan penyertaan pelajar agar mereka terhindar daripada jenayah siber yang semakin berleluasa sekarang ini,” katanya.