SAMA ada kita suka ataupun tidak, perkembangan teknologi moden telah mengubah cara kita berkomunikasi, berfikir dan berinteraksi.

Media sosial yang dahulunya sekadar medium untuk berhubung kini menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian. Dalam sekelip mata, pandangan boleh dilontarkan, berita boleh dikongsi dan sesuatu isu boleh menjadi tular tanpa mengenal sempadan.

Namun, di sebalik segala kemudahan itu, timbul satu persoalan yang semakin penting. Adakah kepantasan teknologi turut menjadikan kita semakin pantas melupakan adab?

Hakikatnya, setiap perkataan yang ditulis dan dikongsikan di alam maya mencerminkan keperibadian serta nilai diri kita.

- Advertisement / Iklan -

Kemajuan teknologi tidak seharusnya menghakis adab dan budi bahasa, sebaliknya menuntut kita agar lebih bijaksana, berhemah serta bertanggungjawab dalam setiap tutur kata dan tindakan.

Malangnya, ruang digital khususnya media sosial pada hari ini semakin memperlihatkan penghakisan kesantunan berbahasa.

- Advertisement / Iklan -

Kata-kata kasar, penghinaan, cacian dan serangan peribadi mudah ditemukan dalam ruangan komen. Perbezaan pandangan yang sepatutnya membuka ruang pertukaran fikiran adakalanya berubah menjadi medan pertikaman kata.

Dari sinilah lahirnya budaya keyboard warrior, apabila kelajuan jari menaip mendahului pertimbangan akal dan budi. Dalam diam, barah ini terus membesar apabila batas antara kebebasan bersuara dengan kebebasan mencerca semakin kabur.

Isu buli siber yang semakin mendapat perhatian mutakhir ini turut memperlihatkan bahawa bahasa di ruang digital bukan perkara yang boleh dipandang ringan.

Ejekan, penghinaan, sindiran melampau dan serangan peribadi mungkin dianggap sekadar gurauan atau luahan spontan oleh penulisnya, tetapi kesannya berbeza kepada individu yang menjadi sasaran.

Lebih membimbangkan apabila perbuatan sedemikian dilakukan secara beramai-ramai sehingga membentuk budaya mengecam dan mempermalukan seseorang di khalayak maya.

Di sinilah adab berbahasa perlu dilihat bukan sekadar soal kesantunan, tetapi juga soal tanggungjawab terhadap sesama manusia.

Sifat ruang digital yang memberikan jarak antara penulis dengan penerima turut mempengaruhi cara seseorang berkomunikasi.

Di sebalik skrin, kita tidak melihat secara langsung reaksi, riak wajah atau emosi individu yang menerima kata-kata kita.

Keadaan ini menyebabkan seseorang lebih mudah menulis sesuatu yang mungkin tidak sanggup diucapkan secara bersemukap. Justeru, jarak fizikal tidak seharusnya menjadi alasan untuk kita mengetepikan empati dan pertimbangan terhadap perasaan orang lain.

Apa yang lebih membimbangkan apabila ketidaksantunan ini semakin dinormalisasikan. Kata-kata yang dahulunya dianggap kasar atau keterlaluan kini mudah dilontarkan atas nama gurauan, teguran atau kebebasan bersuara.

Bahasa yang digunakan secara berulang-ulang akhirnya menjadi kebiasaan dan diterima sebagai norma. Jika bahasa kasar, penghinaan dan cercaan terus dinormalisasikan, tidak mustahil generasi seterusnya akan menganggap bentuk komunikasi sedemikian sebagai sesuatu yang biasa.

Kita sebenarnya sedang membentuk norma linguistik baharu dalam ruang digital.

Hakikatnya, berbeza pendapat bukanlah satu kesalahan. Yang perlu dipelihara adalah cara kita menyuarakannya.

Kita boleh berbeza pandangan, tetapi perbezaan itu tidak seharusnya disuarakan melalui penghinaan, cercaan atau menggunakan bahasa yang boleh merendahkan maruah.

Kesantunan dalam berkomunikasi perlu kekal menjadi asas, sama ada perbualan berlangsung secara bersemuka mahupun melalui skrin.

Dalam kerancakan mengejar kepantasan teknologi, adab tidak seharusnya menjadi “korban”.

Kita mungkin semakin terbiasa dengan bahasa yang ringkas dan spontan, malah adakalanya melampaui batas hanya kerana mahu kelihatan berani atau lantang di media sosial.

Namun, adakah kemajuan dan kepantasan teknologi menuntut kita untuk mengorbankan kesantunan?

“Yang kurik itu kundi,

yang merah itu saga;

yang baik itu budi,

yang indah itu bahasa.”

Pantun ini mengingatkan kita bahawa martabat seseorang bukan semata-mata terletak pada pangkat, kelulusan akademik atau jumlah pengikut yang dimiliki. Sebaliknya, budi pekerti dan kesantunan bahasa turut mencerminkan keperibadian seseorang.

Di ruang digital, bahasa ialah “wajah” kita. Apabila kita meninggalkan komen dengan kata-kata kasar atau tidak beradab, kita sebenarnya sedang mempamerkan sisi peribadi kita kepada khalayak.

Teknologi digital seharusnya menjadi pemangkin, bukannya pemusnah nilai. Platform digital boleh dimanfaatkan untuk menyebarkan ilmu, memberikan inspirasi dan membina komuniti yang positif. Kita boleh memilih perkataan yang membina, berhujah berdasarkan fakta dan menghormati perbezaan pendapat.

Dalam hal ini, celik digital tidak sekadar bermaksud tahu menggunakan teknologi atau mengendalikan aplikasi. Lebih daripada itu, kita perlu bijak menilai maklumat, memahami kesan sesuatu perkongsian dan menjaga tutur kata ketika berkomunikasi.

Kecekapan menggunakan teknologi perlu berjalan seiring dengan adab dan rasa tanggungjawab terhadap orang lain.

Pembentukan budaya digital yang beradab bukan tanggungjawab individu semata-mata. Keluarga, institusi pendidikan dan masyarakat turut berperanan membentuk generasi yang bukan sahaja celik teknologi, tetapi tahu batas ketika berkomunikasi.

Pendidikan tentang adab digital perlu bermula sejak awal agar generasi muda memahami bahawa setiap perkongsian, komen mahupun maklum balas meninggalkan kesan serta jejak digital yang berpanjangan.

Pilihan akhirnya berada di tangan kita. Ruang digital memberikan kebebasan yang luas untuk bersuara, tetapi kebebasan bersuara tidak pernah bermaksud kebebasan untuk menghina.

Teknologi mungkin mengubah cara kita berkomunikasi, tetapi jangan sampai ia mengubah nilai yang menjadi asas kehidupan bermasyarakat.

Sebelum menekan butang “hantar”, berhentilah sejenak dan tanyakan kepada diri: Adakah tulisan ini mencerminkan diri saya sebagai seorang yang beradab?

Di sebalik skrin itu, ada individu yang akan membaca dan menerima kata-kata kita. Peliharalah adab dan budi bahasa kerana kemajuan teknologi yang sebenar tidak sekadar menjadikan manusia semakin pantas berkomunikasi, bahkan semakin bijaksana dalam menggunakan kata-kata.

* Zuraidah Jantan ialah Ketua Informasi dan Penerbitan (Bahasa Melayu) Pejabat Komunikasi Strategik, UiTM