Amanah Ilmu: Universiti sebagai pemegang amanah masa depan negara
Dalam dunia yang semakin dipacu oleh kecerdasan buatan (AI), bioteknologi, perubahan iklim dan persaingan global, apakah yang masih membezakan sebuah universiti daripada institusi pendidikan yang lain?
Jawapannya mungkin bukan sekadar pada kecanggihan teknologi yang dimiliki, jumlah graduan yang dilahirkan atau kedudukannya dalam penarafan dunia. Sebaliknya, kekuatan sebenar sesebuah universiti terletak pada amanah ilmu yang dipikulnya.
Universiti wajar dilihat sebagai pemegang amanah ilmu sebuah institusi yang memegang kepercayaan masyarakat untuk mencipta, memelihara, memperkaya dan memanfaatkan ilmu demi kemajuan negara, kesejahteraan masyarakat serta kelestarian alam.
Dalam konteks ini, kerangka pemikiran Amanah Ilmu menegaskan bahawa ilmu bukan sekadar untuk dikuasai, tetapi merupakan amanah yang perlu dicari dengan integriti, dikembangkan dengan kebijaksanaan, dikongsi dengan keikhlasan dan dimanfaatkan demi kebaikan bersama.
Sejak kewujudan universiti-universiti terawal di dunia, institusi ilmu telah memainkan peranan penting dalam mencari kebenaran, menyebarkan pengetahuan dan membina tamadun.
Namun, cabaran abad ke-21 menjadikan peranan universiti semakin kompleks.
Perubahan iklim, kehilangan biodiversiti, ancaman penyakit baharu, keselamatan makanan, perkembangan kecerdasan buatan dan revolusi bioteknologi memerlukan penyelesaian yang berasaskan ilmu, penyelidikan dan inovasi.
Dalam menghadapi cabaran ini, universiti tidak lagi boleh dilihat sebagai menara gading yang terpisah daripada masyarakat.
Universiti perlu menjadi rakan strategik kepada kerajaan, industri dan komuniti dalam menghasilkan penyelesaian yang memberi impak nyata kepada negara dan rakyat.
Namun, keupayaan menghasilkan ilmu sahaja tidak mencukupi. Persoalan yang lebih penting ialah bagaimana ilmu tersebut digunakan. Ilmu bukan sekadar kuasa, tetapi satu tanggungjawab. Semakin tinggi ilmu yang dimiliki, semakin besar amanah yang dipikul.
Pengetahuan tanpa nilai boleh membawa kepada penyalahgunaan teknologi, ketidakseimbangan pembangunan dan kerosakan alam sekitar. Sebaliknya, ilmu yang dipandu oleh integriti, etika dan rasa tanggungjawab akan menjadi asas kepada kemajuan yang mampan.
Hakikat ini amat jelas dalam bidang sains kehidupan. Kemajuan dalam genomik, biologi molekul, penyuntingan gen, bioteknologi dan kecerdasan buatan membuka ruang yang luas untuk meningkatkan kesihatan manusia, menjamin keselamatan makanan serta memelihara alam sekitar.
Namun, setiap penemuan saintifik perlu disertai pertimbangan etika. Persoalan yang harus sentiasa ditanya bukan hanya “bolehkah kita melakukannya?” tetapi juga “patutkah kita melakukannya?” dan “siapakah yang akan menerima manfaat atau menanggung akibatnya?”
Daripada perspektif sains kehidupan, kerangka pemikiran Amanah Ilmu membawa makna yang lebih mendalam kerana bidang ini berhubung secara langsung dengan asas kehidupan manusia.
Sains kehidupan bukan sekadar usaha memahami mekanisme biologi, tetapi satu bidang yang menentukan bagaimana manusia berinteraksi dengan kesihatan, makanan, alam sekitar dan biodiversiti.
Penyelidikan dalam biokimia, genomik, biologi molekul, mikrobiologi, bioteknologi dan kecerdasan buatan dalam biologi telah membuka peluang besar untuk menghasilkan penyelesaian kepada cabaran kesihatan, keselamatan makanan dan perubahan iklim.
Namun, setiap kemajuan tersebut membawa bersama tanggungjawab yang besar. Keupayaan manusia untuk memahami dan mempengaruhi sistem kehidupan melalui teknologi moden perlu sentiasa dipandu oleh pertimbangan etika, kesejahteraan masyarakat dan kelestarian alam.
Dalam konteks ini, ahli sains kehidupan bukan hanya berperanan sebagai pencipta pengetahuan, tetapi juga sebagai penjaga amanah kehidupan.
Setiap penemuan saintifik mempunyai implikasi yang melangkaui makmal dan boleh mempengaruhi manusia, komuniti serta ekosistem secara keseluruhan. Oleh itu, kecemerlangan dalam sains kehidupan perlu bergerak seiring dengan tanggungjawab kemanusiaan.
Atas sebab itu, universiti perlu melahirkan graduan dan saintis yang bukan sahaja memiliki kepakaran teknikal, tetapi juga kebijaksanaan, integriti dan empati.
Pendidikan tinggi tidak seharusnya hanya memenuhi keperluan pasaran pekerjaan, tetapi membentuk insan yang mampu berfikir secara kritis, membuat keputusan secara beretika dan menggunakan ilmu untuk kepentingan masyarakat.
Kecemerlangan universiti juga tidak dibina oleh individu semata-mata. Ia lahir daripada sebuah ekosistem yang saling melengkapi, melibatkan ahli akademik, penyelidik, pegawai sains, kakitangan pentadbiran, pelajar, alumni dan rakan strategik.
Setiap komponen memainkan peranan penting dalam membina budaya ilmu yang kukuh, inovatif dan berdaya tahan.
Bagi Malaysia, kerangka pemikiran Amanah Ilmu mempunyai makna yang lebih mendalam kerana negara ini dikurniakan kekayaan biodiversiti yang luar biasa. Kekayaan semula jadi ini bukan sekadar sumber ekonomi, tetapi merupakan amanah negara yang perlu diterokai secara beretika, dipelihara secara lestari dan dimanfaatkan untuk kesejahteraan generasi masa kini serta akan datang.
Potensi biodiversiti negara membuka peluang besar dalam bidang bioekonomi, bioteknologi, pertanian, farmaseutikal dan sains kehidupan.
Namun, manfaat tersebut hanya dapat direalisasikan melalui penyelidikan berkualiti, pemuliharaan lestari dan pembangunan modal insan yang berintegriti.
Universiti mempunyai tanggungjawab untuk memastikan kekayaan ini bukan sahaja diterokai untuk menghasilkan inovasi, tetapi juga dipelihara sebagai warisan negara.
Ketika Malaysia melangkah ke arah sebuah negara berpendapatan tinggi dan berteraskan inovasi, kita memerlukan universiti yang bukan sahaja cemerlang dalam pendidikan, penyelidikan dan inovasi, tetapi juga berupaya memimpin perubahan dengan berpandukan nilai kemanusiaan, integriti dan tanggungjawab sosial.
Oleh itu, kerangka pemikiran Amanah Ilmu wajar dilihat sebagai satu pendekatan yang memperkukuh peranan universiti sebagai pemegang amanah ilmu demi kemajuan negara, kesejahteraan masyarakat dan kelestarian alam.
Melalui kerangka ini, universiti bukan sekadar menjadi tempat menyampaikan dan menghasilkan ilmu, tetapi sebuah institusi yang membentuk insan berintegriti, memupuk budaya penyelidikan yang bertanggungjawab serta melahirkan pemimpin yang menggunakan ilmu untuk kebaikan bersama.
Pada akhirnya, kekuatan sesebuah universiti tidak hanya diukur melalui apa yang diketahuinya, tetapi melalui manusia yang dibentuk, masyarakat yang diperkasakan dan masa depan yang berjaya dibina.
Ilmu memberikan manusia keupayaan untuk memahami dan mengubah dunia, tetapi amanah menentukan bagaimana keupayaan itu digunakan untuk membina masa depan yang lebih baik. Inilah semangat yang mendasari kerangka pemikiran Amanah Ilmu.
* Prof. Madya Dr. Zazali Alias ialah Ketua Institut Sains Biologi, Fakulti Sains, UM
