X-ray, CT Scan dan MRI: Fahami dulu sebelum risau
APABILA doktor mencadangkan pemeriksaan X-ray, CT scan atau MRI, tidak sedikit pesakit yang mula berasa risau. Ada yang bimbang kerana mendengar perkataan “radiasi”.
Ada juga yang menyangka semua pemeriksaan pengimejan perubatan mempunyai risiko yang sama.
Hakikatnya, setiap pemeriksaan mempunyai fungsi, kelebihan dan tahap keselamatan yang berbeza.
X-ray atau sinaran-X ialah pemeriksaan yang biasa digunakan untuk melihat struktur dalam badan, terutamanya tulang, dada dan bahagian tertentu yang memerlukan penilaian cepat.
Pemeriksaan ini menggunakan radiasi mengion, tetapi lazimnya pada dos yang rendah. Sebab itu X-ray sering digunakan dalam kes seperti patah tulang, pemeriksaan paru-paru atau penilaian awal sesuatu kecederaan.
CT scan pula ialah singkatan kepada Computed Tomography, atau dalam Bahasa Melayu disebut Tomografi Berkomputer.
Pemeriksaan ini juga menggunakan sinaran-X, tetapi dengan bantuan komputer untuk menghasilkan imej badan secara berlapis atau keratan rentas.
Dengan cara ini, doktor dapat melihat bahagian dalam badan dengan lebih terperinci berbanding X-ray biasa.
CT scan sangat penting dalam keadaan tertentu seperti strok, kemalangan, kanser, pendarahan dalaman, jangkitan serius atau kecemasan yang memerlukan keputusan cepat.
Dos radiasi bagi CT scan lazimnya lebih tinggi berbanding X-ray biasa, namun maklumat yang diberikan juga jauh lebih mendalam.
Oleh itu, CT scan bukan dilakukan sesuka hati, tetapi apabila doktor memerlukan maklumat yang jelas untuk membuat diagnosis atau menentukan rawatan yang tepat.
MRI pula ialah singkatan kepada Magnetic Resonance Imaging, atau Pengimejan Resonans Magnetik. Berbeza dengan X-ray dan CT scan, MRI tidak menggunakan sinaran-X.
Pemeriksaan ini menggunakan medan magnet dan gelombang radio untuk menghasilkan imej, terutamanya bagi tisu lembut seperti otak, saraf tunjang, sendi, otot dan organ tertentu.
Namun, ini tidak bermaksud MRI sentiasa lebih baik untuk semua keadaan.
MRI biasanya mengambil masa lebih lama, kosnya lebih tinggi, dan tidak sesuai untuk sesetengah pesakit yang mempunyai implan logam atau alat perubatan tertentu.
Sebab itu, pemilihan pemeriksaan bukan berdasarkan mana yang kelihatan paling canggih, tetapi berdasarkan keadaan pesakit dan maklumat klinikal yang diperlukan.
Jadi, adakah masyarakat perlu takut? Jawapannya, tidak perlu takut secara melulu. Namun, masyarakat juga tidak boleh memandang ringan aspek keselamatan.
Dalam perubatan, sesuatu pemeriksaan hanya wajar dilakukan apabila manfaatnya lebih besar daripada risikonya. Inilah prinsip penting dalam penggunaan radiasi perubatan.
Bagi kanak-kanak dan wanita mengandung, perhatian lebih perlu diberikan kerana tubuh mereka lebih sensitif terhadap kesan radiasi.
Dalam kalangan kanak-kanak, sel-sel badan masih aktif membesar dan membahagi, menyebabkan ia lebih mudah terjejas oleh pendedahan radiasi berbanding orang dewasa.
Bagi wanita mengandung pula, janin yang sedang berkembang juga lebih sensitif, terutamanya pada peringkat awal kehamilan.
Walaupun risiko daripada satu pemeriksaan biasanya rendah, langkah berjaga-jaga tetap penting untuk mengurangkan pendedahan yang tidak perlu.
Ini bukan bermaksud X-ray atau CT scan langsung tidak boleh dilakukan, tetapi keputusan perlu dibuat dengan lebih berhati-hati dan berdasarkan keperluan klinikal yang jelas.
Jika sesuai, doktor mungkin mempertimbangkan pilihan lain seperti ultrasound atau MRI.
Pesakit juga berhak bertanya. Antara soalan mudah yang boleh diajukan ialah: Mengapa pemeriksaan ini diperlukan? Adakah terdapat pilihan lain tanpa radiasi?
Apakah maklumat penting yang doktor mahu dapatkan daripada pemeriksaan ini? Soalan seperti ini bukan bermaksud menolak rawatan, tetapi menunjukkan pesakit lebih cakna terhadap kesihatan dan keselamatan diri.
Kesimpulannya, X-ray, CT scan dan MRI bukanlah pemeriksaan yang sama. X-ray sesuai untuk penilaian ringkas, CT scan penting untuk imej yang lebih terperinci, manakala MRI berguna untuk melihat tisu lembut tanpa menggunakan sinaran-X.
Yang penting bukanlah takut kepada teknologi, tetapi memastikan setiap pemeriksaan dilakukan dengan sebab yang betul, cara yang selamat dan manfaat yang jelas kepada pesakit.
Radiasi bukan untuk ditakuti secara melulu, tetapi perlu difahami supaya keselamatan pesakit sentiasa menjadi keutamaan.
* Dr. Ahmad Naqiuddin Azahari ialah Pensyarah Kanan Radioterapi, Faculty of Health & Life Sciences, MSU
