SOLIDARITI terhadap rakyat Palestin terus dizahirkan warga Politeknik dan Kolej Komuniti (PolyCC) menerusi sokongan terhadap usaha kemanusiaan bagi membantu rakyat Gaza yang masih berdepan krisis dan penderitaan berpanjangan.

Komitmen itu diterjemahkan menerusi penyertaan dalam Program Hi Tea Kemanusiaan ‘Bersama Membina Gaza’ anjuran Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) Perak di Prestige Hall, pada Ahad.

Program berkenaan menghimpunkan individu, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pertubuhan bukan berasaskan keuntungan (NPO) yang berkongsi komitmen terhadap usaha kemanusiaan dan gerakan bantuan kepada rakyat Gaza.

Pengurus Besar MyCARE Palestin, Dr. Ziad M.M. Shehada, menerusi perkongsian beliau menyampaikan mesej mengenai harapan rakyat Palestin untuk terus bertahan dan meneruskan kehidupan, selain menjelaskan realiti yang berlaku di Gaza susulan krisis kemanusiaan yang berpanjangan.

- Advertisement / Iklan -

No Image Caption

Ucaptama pula disampaikan Pengerusi MyCARE Malaysia, Datuk Seri Ir. Dr. Kamal Nasharuddin Mustapha yang berkongsi pengalaman serta usaha berterusan MyCARE dalam menyalurkan bantuan kepada rakyat Gaza hasil sokongan dan solidariti rakyat Malaysia.

- Advertisement / Iklan -

Hadir mewakili Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti ialah Pengarah Politeknik Ungku Omar (PUO), Dr. Salmi Che Meh, bersama Pengarah dan wakil Pengarah institusi PolyCC Negeri Perak serta barisan pengurusan PUO.

Kehadiran mereka menjadi tanda sokongan warga PolyCC terhadap usaha kemanusiaan yang digerakkan bagi membantu rakyat Gaza.

Dalam majlis sama, Dr. Salmi turut menerima cenderamata daripada pihak MyCARE sebagai tanda penghargaan atas sokongan yang diberikan terhadap program berkenaan.

Sokongan PolyCC itu mencerminkan komitmen warga institusi pendidikan berkenaan untuk terus menyumbang kepada usaha kemanusiaan, khususnya dalam membantu rakyat Gaza yang berdepan kesengsaraan dan kehilangan akibat krisis berpanjangan.

Dalam pada itu, MUAFAKAT POLYCC masih membuka ruang kepada seluruh warga PolyCC untuk turut menyumbang kepada usaha bantuan kemanusiaan berkenaan menerusi institusi masing-masing.

Solidariti dan sokongan berterusan rakyat Malaysia amat penting bagi memastikan bantuan kemanusiaan dapat terus disalurkan kepada mereka yang memerlukan di Gaza.