UPM juara SUKIPT 2026, Sultan Selangor zahir syabas
SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada Kontinjen Universiti Putra Malaysia (UPM) atas kejayaan sebagai Johan Keseluruhan Kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) edisi ketujuh, 2026.
Selaku Canselor UPM, baginda amat berbangga dengan pencapaian itu dan berharap ia akan terus membakar semangat para pelajar untuk mencapai kecemerlangan, bukan sahaja dalam bidang akademik, malah dalam arena sukan.
"Kejayaan tersebut merupakan hasil usaha gigih, disiplin dan semangat juang tinggi setiap pelajar yang menyertai kejohanan berkenaan, di samping komitmen serta bimbingan para jurulatih dan pensyarah yang terlibat," titah baginda menerusi hantaran Instagram Selangor Royal Office pada Sabtu.
Baginda turut mendoakan UPM terus menempa kejayaan dalam segenap bidang dan pada semua peringkat, sekali gus kekal sebagai antara universiti terbaik di Malaysia serta disegani di persada antarabangsa.
Pada kejohanan yang melabuhkan tirainya di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Malaya (UM) pada 6 September lepas, kontinjen UPM meraih 35 pingat emas, 20 perak dan 15 gangsa, sekali gus mengulangi kejayaan muncul juara pada edisi SUKIPT 2022.
Juara bertahan edisi 2024, Universiti Teknologi MARA (UiTM) menduduki tempat kedua dengan 29 emas, 21 perak dan 32 gangsa, manakala tuan rumah UM di tempat ketiga selepas mengumpul 28 emas, 18 perak dan 17 gangsa.
Sepanjang temasya itu, sebanyak 46 rekod kejohanan berjaya dipecahkan merangkumi 13 rekod dalam olahraga, 18 dalam renang serta 15 dalam memanah.
Dua rekod kebangsaan berjaya dipecahkan masing-masing menerusi acara kayak TK1 200 meter (m) wanita dan menembak 10m air rifle lelaki.
Atlet HELP University Rodney James Darren James dan Syahida Asyiqin Rusli daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pula dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati SUKIPT 2026, susulan pencapaian cemerlang mereka sepanjang temasya. - Bernama
