MEMBERI peluang kepada pelajar sekolah merasai sendiri kehidupan sebagai mahasiswa menjadi antara pendekatan Program Inspirasi Varsiti: Selangkah ke UPSI 2.0 dalam mencetuskan aspirasi generasi muda untuk melanjutkan pengajian ke peringkat pendidikan tinggi.

Program anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu berlangsung selama tiga hari dua malam dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) UPSI, baru-baru ini.

Seramai 144 peserta terdiri daripada pelajar SMK Syed Ibrahim, SMK Proton City, SMK Kalumpang dan SMK Dato’ Sri Amar DiRaja menyertai program tersebut, sekali gus memberi peluang kepada mereka mengenali dengan lebih dekat suasana kehidupan di institusi pengajian tinggi serta mendapatkan gambaran awal mengenai persediaan sebelum melangkah ke alam universiti.

Program Inspirasi Varsiti: Selangkah ke UPSI 2.0 turut menjadi medium untuk menyemai aspirasi dan motivasi dalam kalangan generasi muda agar lebih bersedia dari segi mental, akademik dan sahsiah sebelum melangkah ke menara gading.

- Advertisement / Iklan -

Pendedahan awal itu penting bagi membantu pelajar menetapkan hala tuju pendidikan, mengenali potensi diri serta membina keyakinan untuk mengejar cita-cita pada masa hadapan.

Pengarah Program Inspirasi Varsiti: Selangkah ke UPSI 2.0, Nurfatini Izzati, berkata program tersebut diharapkan dapat memberikan pendedahan dan pengalaman bermakna kepada peserta mengenai kehidupan sebenar di alam universiti, selain membuka minda mereka untuk mengenali potensi diri, membina keyakinan serta menyemai aspirasi melanjutkan pengajian ke peringkat pendidikan tinggi.

- Advertisement / Iklan -

“Program ini bukan sekadar memberi peluang kepada para peserta untuk mengenali UPSI, tetapi turut menjadi platform untuk mereka merasai sendiri suasana kehidupan sebagai mahasiswa. Kami berharap pengalaman yang diperoleh dapat menjadi pencetus semangat kepada mereka untuk terus mengejar cita-cita dan berani melangkah lebih jauh dalam pendidikan,” ujar beliau.

Antara pengisian program ialah lawatan ke Muzium Pendidikan Nasional UPSI yang memberikan pendedahan kepada peserta mengenai sejarah perkembangan pendidikan serta peranan UPSI dalam landskap pendidikan negara.

Menerusi lawatan tersebut, para peserta berpeluang menelusuri pelbagai koleksi, bahan pameran dan khazanah berkaitan pendidikan yang dipamerkan, di samping menambah pengetahuan serta menghayati nilai sejarah dan warisan pendidikan Malaysia.

No Image Caption

Ketua Penolong Pengarah KPP (BHEP), Seksyen Kesukarelawan dan Khidmat Komuniti yang mewakili Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Muhammad Nafi' Rezani Tahrir berkata, program berkenaan dapat memberikan pendedahan awal yang bermanfaat kepada para peserta mengenai kehidupan di alam universiti, di samping menyemai keyakinan dan aspirasi untuk melanjutkan pengajian ke peringkat pendidikan tinggi.

“Program ini memberikan pendedahan awal yang bermanfaat kepada para peserta mengenai kehidupan di alam universiti, di samping menyemai keyakinan dan aspirasi untuk melanjutkan pengajian ke peringkat pendidikan tinggi.

Para peserta juga perlu memanfaatkan sepenuhnya peluang dan pengalaman yang diperoleh sepanjang program sebagai persediaan dalam menentukan hala tuju pendidikan dan masa hadapan,” katanya dalam ucapan merasmikan program itu.

Menurut beliau, pendidikan merupakan asas penting dalam membentuk generasi berilmu, berkemahiran dan berdaya saing.

“Para peserta perlu terus berusaha, berani mencuba serta tidak mudah berputus asa dalam mengejar cita-cita,” katanya lagi.

Secara keseluruhannya, Program Inspirasi Varsiti: Selangkah ke UPSI 2.0 memberikan pengalaman dan pendedahan bermakna kepada para peserta dalam mengenali dengan lebih dekat kehidupan di alam universiti.

Program tersebut bukan sahaja meningkatkan pengetahuan dan keyakinan diri, malah turut menyemai aspirasi serta motivasi dalam kalangan generasi muda untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Pengalaman yang diperoleh sepanjang program diharapkan menjadi pemangkin kepada para peserta untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik dan merealisasikan impian melangkah ke menara gading.