UNIVERSITI Putra Malaysia (UPM) memperkukuh empat domain strategik sebagai arena impak utama menerusi Pelan Strategik Universiti Putra Malaysia 2026–2030 (PSUPM 2026–2030), dengan sasaran menjadikan kepakaran dan kecemerlangan universiti sebagai penyelesaian kepada cabaran utama negara dan dunia.

Empat domain berkenaan ialah Pertanian dan Keterjaminan Makanan; Kesihatan Planet dan Kelestarian; Universiti Diiktiraf Dunia; serta Kesejahteraan Warga dan Jiwa Putra, yang menjadi teras kepada hala tuju strategik UPM bagi tempoh lima tahun akan datang.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, keempat-empat domain tersebut perlu diterjemahkan kepada sasaran berimpak tinggi yang mampu memberikan manfaat nyata kepada masyarakat, negara dan dunia.

Beliau berkata, pelan strategik berkenaan penting kerana UPM telah menetapkan perkara yang ingin dicapai dalam tempoh lima tahun menerusi empat sasaran strategik yang digariskan.

- Advertisement / Iklan -

Antara perkara menarik menurutnya ialah, usaha UPM mengembalikan semula asasnya yang berteraskan agrobisnes, selain memanfaatkan pengalaman dan kepakaran luas dalam bidang keterjaminan makanan.

“Pelan ini penting. Saya ucapkan tahniah kepada pihak UPM yang mempunyai pelan yang mereka tahu apa yang mereka nak lakukan dalam satu-satu tempoh, dalam konteks ini selama lima tahun mereka merangka untuk apa yang nak mereka capai,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis peluncuran Pelan Strategik UPM 2026-2030 di UPM pada Selasa.

- Advertisement / Iklan -

No Image Caption

Zambry berkata, UPM turut merangka hala tuju dalam bidang baharu seperti kesihatan planet dan kelestarian sebagai sebahagian daripada perancangan universiti itu dalam tempoh lima tahun akan datang.

Dalam pada itu, beliau berkata pencapaian UPM dalam bidang tertentu tidak boleh dipandang ringan, termasuk dalam bidang kuantum apabila kerajaan telah mengenal pasti kehebatan universiti itu dalam bidang berkenaan.

Katanya, kerajaan turut memberikan dokongan yang kuat untuk menjadikan UPM antara pusat dalam bidang teknologi kuantum.

“Dan begitu juga kita tahu dalam segi business school-nya. Jadi ini antara pusat-pusat yang mempunyai pencapaian yang tinggi di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, UPM turut mempunyai pengiktirafan di peringkat antarabangsa dan merupakan salah sebuah universiti penyelidikan (RU) yang terus berkembang menerusi kepelbagaian bidang kepakarannya.

“Mereka telah mempelbagaikan dari segi UPM itu yang sekarang ini juga sudah pun menjadi pengiktirafan antarabangsa dan universiti ini juga adalah merupakan salah satu daripada universiti ada RU, universiti research university. Mereka akan terus berkembang. Kita ucapkan tahniah kepada mereka,” katanya lagi.