Isu KKEC UiTM: KPT jangka laporan lengkap dalam masa terdekat
KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) menunggu laporan lengkap berhubung kes kematian pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) ketika program Cabaran Ketahanan Komander Kesatria (KKEC) 2026 sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, kementerian menjangkakan laporan berkenaan dapat diperoleh secepat mungkin dan tindakan akan diambil berdasarkan dapatan siasatan.
“Kita jangkakan secepat mungkinlah. Kita cuba dapatkan. Apa pun kita ambil tindakan berdasarkan pada laporan yang akan disediakan nanti,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Peluncuran Pelan Strategik UPM 2026-2030 di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, pada Selasa.
Baru-baru ini, seorang peserta KKEC meninggal dunia manakala lapan lagi dimasukkan ke hospital selepas mengalami komplikasi berkaitan haba di kampus cawangan UiTM Pahang di Jengka.
Mangsa, Fadhlan Fakhry Solana Mohd. Fellimal, 21, disahkan meninggal dunia di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh, Sabtu lalu.
Mengulas mengenai isu-isu yang dibangkitkan mahasiswa UiTM seperti penempatan pelajar dan kelemahan tadbir urus, Zambry berkata, KPT akan meneliti perkara tersebut.
Menurutnya, sebarang masalah dalaman universiti perlu disalurkan kepada pihak pengurusan tertinggi institusi untuk dibincangkan dan ditangani.
“Kalau mereka ada masalah mereka serahkanlah kepada pihak pengurusan. Kita ada Naib Canselor, kita ada HEP yang bertanggungjawab.
“Saya juga memberitahu kepada pihak universiti supaya ruang untuk semua pihak termasuk pelajar dan ahli akademik sekiranya ada perkara yang perlu diperbincangkan dan diperbaiki, kita kena lakukan dari masa ke semasa,” ujarnya.
