Industri sokong program baharu UTeM lahir bakat pembuatan aeroangkasa
UNIVERSITI Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) memperkukuh usaha melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam sektor aeroangkasa menerusi pembangunan program Sarjana Muda Teknologi Pemesinan Industri dalam Pembuatan Aeroangkasa dengan Kepujian.
Program baharu itu dibangunkan dengan mengambil kira keperluan sebenar industri melalui sesi libat urus membabitkan lebih 10 syarikat dan pemain industri aeroangkasa serta institusi pendidikan.
Antara bidang yang diberi tumpuan ialah CNC dan Multi-Axis Machining, Aerospace Component Manufacturing, pemesinan titanium, superalloy dan komposit serta Aerospace Quality & Compliance (AS9100).
Selain kemahiran teknikal, struktur program turut dicadangkan untuk merangkumi kemahiran digital seperti simulasi berbantukan komputer dan automasi pemesinan aeroangkasa bagi memenuhi tuntutan teknologi industri semasa.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin, berkata pembangunan program itu mencerminkan komitmen universiti memastikan penawaran akademik terus seiring dengan keperluan industri strategik negara.
“Kerjasama antara universiti dan industri penting bagi memastikan pembangunan bakat sentiasa bergerak seiring dengan perubahan teknologi dan keperluan pasaran pekerjaan.
“UTeM mahu melahirkan graduan yang bukan sahaja mempunyai pengetahuan dan kemahiran teknikal, tetapi turut menguasai kompetensi digital serta mempunyai pengalaman industri,” katanya.
Program berkenaan direalisasikan menerusi Program Roundtable: Pembangunan Program Akademik Baharu Teknologi Pembuatan Aeroangkasa anjuran Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Industri dan Pembuatan (FTKI) yang disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) National Aerospace Industry Corporation Malaysia (NAICO Malaysia), Prof Ir Ts Dr Shamsul Kamar Abu Samah.
Dekan FTKIP, Profesor Ir Dr Mohd Asyadi 'Azam Mohd Abid berkata, input daripada industri penting bagi memastikan graduan yang dilahirkan mempunyai kompetensi yang relevan dengan teknologi dan proses pembuatan aeroangkasa semasa.
“Pembangunan program ini mengambil kira keperluan sebenar industri supaya graduan yang dihasilkan mempunyai kompetensi yang relevan dengan teknologi dan proses pembuatan aeroangkasa semasa.
“Penekanan turut diberikan kepada pembelajaran berasaskan industri supaya pelajar mendapat pendedahan kepada persekitaran kerja sebenar, termasuk penggunaan teknologi pemesinan berteknologi tinggi,” katanya.
Menurut beliau, sokongan pemain industri seperti CTRM Aero Composites dan G7 Aerospace terhadap cadangan latihan industri, termasuk penempatan Work-Based Learning (WBL) berasaskan projek sebenar, dapat memberi nilai tambah kepada pembangunan program berkenaan.
“Pendekatan ini memberi peluang kepada pelajar memahami cabaran sebenar industri dan membina keupayaan menyelesaikan masalah sebelum menamatkan pengajian,” katanya.
Sesi libat urus itu turut mengenal pasti peluang kerjasama antara universiti dan industri, termasuk mengoptimumkan penggunaan makmal serta fasiliti sedia ada.
Penglibatan Kolej Vokasional, Kolej Teknologi Termaju (ADTEC) dan politeknik pula memberi input berkaitan kesediaan calon pelajar serta laluan pendidikan yang sesuai untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana muda dalam bidang pembuatan aeroangkasa.
Majlis itu turut menyaksikan pemeteraian Surat Hasrat (LOI) antara FTKIP dan institusi pendidikan yang terlibat bagi memperkukuh kerjasama akademik, perkongsian kepakaran dan pembangunan bakat.
Kerjasama berkenaan diharap dapat memperkukuh ekosistem pendidikan dan industri aeroangkasa serta menyediakan tenaga kerja tempatan berkemahiran khusus bagi memenuhi keperluan sektor pembuatan aeroangkasa negara.
