MSU kongsi rezeki Ramadan bersama anak yatim
Management and Science University (MSU) meneruskan komitmen menyantuni komuniti apabila menganjurkan Majlis Iftar dan Penyerahan Zakat Anak-Anak Yatim 2026 sebagai sebahagian daripada pengisian program MSU Ihya Ramadan 2026 yang berlangsung di Dewan Canselor kampus induknya di Shah Alam.
Program berkenaan menghimpunkan kira-kira 200 penghuni daripada 20 rumah kebajikan sekitar Lembah Klang, sekali gus menjadi platform universiti itu berkongsi rezeki serta memperkukuh budaya keprihatinan sosial dalam kalangan warga kampus.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Presiden dan Pengasas MSU, Mohd Shukri Ab. Yajid yang turut menyampaikan sumbangan zakat dan duit raya berjumlah RM120,000 melalui Yayasan MSU kepada rumah-rumah kebajikan serta anak-anak yatim yang hadir.
Antara rumah kebajikan terlibat termasuk Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras, Rumah Kebajikan dan Bimbingan At-Taqwa, Rumah Anak-Anak Yatim dan Asnaf As-Solihin, Pusat Jagaan Amal Asyura serta Madrasah Anak Yatim dan Tahfiz Quran Hashimiah.
Program kali ini turut menyaksikan penyertaan lima rumah kebajikan baharu iaitu Pertubuhan Kebajikan Raudhatul Al-Faeez, Pertubuhan Rumah Anak Yatim dan Miskin Sungai Pinang Klang, Pertubuhan Pendidikan dan Pembangunan Sosial Ibn Battuta serta Pertubuhan Kebajikan dan Perlindungan Nur Qaseh Malaysia.

Hubungan antara MSU dan rumah-rumah kebajikan tersebut telah terjalin sejak 2011, bukan sekadar melalui sumbangan kewangan, malah melibatkan pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang disertai warga universiti bersama komuniti.
Majlis penyerahan zakat dan duit raya ini juga menjadi tradisi tahunan MSU, sekali gus mencerminkan komitmen universiti dalam menyantuni masyarakat serta menyemai budaya bersyukur dan memberi yang dikenali sebagai 2G Culture dalam kalangan warga kampus.
Turut hadir Naib Canselor MSU, Junainah Abd Hamid; Naib Presiden Kanan Endowmen dan Komunikasi Management and Science University, Rosli Yusof; barisan pengurusan universiti serta wakil rumah kebajikan dan anak-anak yatim.
Dalam masa sama, MSU Ihya Ramadan 2026 menyaksikan pelaksanaan lebih 657 aktiviti melibatkan warga kampus, komuniti setempat dan komuniti antarabangsa. Antara golongan yang disantuni termasuk anak yatim, asnaf, mualaf, kumpulan B40, Orang Asli, petugas barisan hadapan, pelajar serta rakan industri.
Program berkenaan digerakkan menerusi lima teras utama iaitu RamadanCare, RamadanShare, RamadanRecharge, RamadanVibes dan RamadanConnect.

